BIRMINGHAM – Seorang warga Bangladesh beragama Islam melakar sejarah apabila menjadi salah seorang daripada pasangan lelaki gay yang melangsungkan perkahwinan sejenis pertama di Britain.
Laman portal Dailymail melaporkan, Jahed Choudhury, 24, mengahwini Sean Rogan, 19, dengan kedua-dua `mempelai’ memakai pakaian pengantin tradisional Bangladesh.
Majlis perkahwinan yang diadakan pada 22 Jun itu turut dihadiri keluarga dan rakan-rakan daripada kedua-dua belah pihak.
Keluarga Jahed diwakili ibu, kakak, adik dan sepupunya, manakala ibu serta dua kakak dan abang Sean turut hadir pada majlis tersebut.
“Saya ingin katakan kepada semua orang yang melalui perkara sama seperti saya, tidak mengapa, kita akan tunjukkan kepada dunia bahawa anda boleh menjadi gay dan Islam.
“Saya kini menantikan kehidupan bahagia bersama Sean,” katanya yang akan berbulan madu ke Sepanyol.
Menceritakan detik perkenalannya dengan Sean, Jahed berkata, dia sedang menangis di atas bangku di bandar Darlaston akibat tertekan kerana sering dihina dan Sean telah menegurnya.
Ujarnya, Sean yang sering mengambil berat tentang dirinya telah mengambil keputusan untuk menjadikan hubungan mereka lebih intim.
Jahed mendakwa, dia dibesarkan dalam penghinaan oleh masyarakat Islam kerana seorang gay, bahkan dia pernah dihantar menunaikan haji untuk mengubah orientasi seksnya.
Tambahnya, ke mana sahaja sekolah dihadirinya pasti akan mengundang cemuhan termasuk ada yang meludahnya, membaling sampah, memanggilnya `babi’.
Jahed berkata, dia diserang penduduk Islam di tempat tinggalnya, selain tulisan anti-gay disembur di pintu depan rumahnya.
“Saya diserang dengan kejam oleh lelaki Islam, pihak masjid memberitahu saya bukan lagi orang Islam dan tidak dibenarkan masuk masjid.
“Tetapi mungkin sukar bagi kami untuk mencari masjid yang menerima kedatangan kami,” katanya dengan menambah turut mendapat ancaman bunuh selepas mereka mengambil keputusan untuk berkahwin.
Jahed turut mendedahkan Sean sedang mempertimbangkan untuk memeluk Islam – MalaysiaGazette