Home Utama Maju mundur Malaysia bergantung kepada bakat muda negara – PM

Maju mundur Malaysia bergantung kepada bakat muda negara – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta sebahagian menteri kabinet bergambar kenangan bersama para Felo Perdana pada Majlis Penyerahan Felo Perdana di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 12 JULAI 2017.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, maju mundur sesebuah negara itu bergantung kepada penguasaan bakat muda yang ada pada negara tersebut.

Justeru menurut beliau, program Felo Perdana yang diilhamkan Kementerian Belia dan Sukan perlu diteruskan bagi memberi peluang kepada bakat muda menajamkan kebolehan mereka.

“Saya percaya maju mundur sesebuah negara itu bergantung kepada bakat muda yang ada sekarang, dan kita mesti wujudkan pelbagai program, laluan dan struktur supaya generasi melania ini boleh kita lakukan proses ‘mentoring’ dan beri mereka peluang supaya dapat menajamkan kebolehan mereka.

“Program ini sangat berguna kerana ia memenuhi kriteria tersebut. Kita boleh lakukan program lain tetapi kelebihan program ini tidak terdapat pada program lain kerana sebagai Perdana Felo, mereka akan ditempatkan bukan di sebarang tempat tapi di sisi mereka yang membuat dasar utama kerajaan,” katanya dalam program penyerahan Felo Perdana di Perdana Putra hari ini.

Buat kali kelima, seramai 85 pelajar universiti tempatan dan antarabangsa diangkat menjadi Felo Perdana kali ini.

Hadir sama semua Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet yang turut menerima Felo Perdana tahun ini.

Antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Jelas Najib, semua yang telah dipilih sebagai Felo Perdana harus menggunakan peluang yang diberikan sebagai platform untuk mengembangkan personaliti masing-masing.

“Terlalu banyak faedah yang boleh diperoleh dan saya percaya selain daripada itu saya dapat melihat betapa susahnya untuk menguruskan kerajaan.

“Saya selaku pelajar dulu pernah terfikir bahawa menguruskan kerajaan adalah mudah. Tapi bila sudah menjadi kerajaan, baru sedar bahawa perkara itu bukan mudah untuk dilaksanakan sebagaimana orang luar nampak,” tambah Najib lagi.

Sebelum menamatkan program, semua Felo Perdana turut diminta untuk menulis esei berkaitan pelaksanaan Transformasi Nasional (TN50) yang diilhamkan beliau.

Ia syarat wajib bagi semua peserta bagi memberikan persepktif sendiri mengenai program terbabit. -MalaysiaGazette.