PARIS – Pep Guardiola tersentak apabila pemain Juventus yang menjadi buruannya membuat pusingan ‘U’ dengan memilih untuk tidak berhijrah ke Liga Perdana Inggeris.
Akhbar L’Equipe melaporkan Dani, Alves telah bersetuju untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) selama dua tahun.
Alves dilaporkan sedang menjalani ujian kesihatan di sini walaupun mendapat tawaran lumayan daripada City.
Berita itu semakin jelas apabila isteri Alves, Joana Sanz memuatnaik video di laman sosial Instagram miliknya dari Paris yang mengesahkan mereka berada di Paris ketika ini.
Malah sebuah gambar yang menunjukkan Alves bergambar bersama bakal rakan pasukannya, Marquinhos turut tersebar.
Difahamkan, majlis memperkenalkan Alves sebagai pemain PSG secara rasmi akan dibuat dalam masa terdekat sebelum dia menyertai pasukan itu berlepas ke Amerika Syarikat untuk siri jelajah pra musim.
Sebelum ini, bekas bintang Barcelona itu menamatkan kontraknya bersama Juventus kerana mahu bekerjasama dengan bekas jurulatihnya di Nou Camp sebelum ini.
Namun tindakan PSG menyambar pemain pertahanan berusia 34 tahun itu sekali gus meranapkan impian Guardiola untuk bersatu semula dengan Alves.
Selain Alves, dia juga merancang membawa masuk Kyle Walker dan Benjamin Mendy dari Monaco dan pemain pertahanan Southampton, Ryan Bertrand. – MalaysiaGazette