Home Utama MRT – Limpahan rezeki penduduk Kajang

MRT – Limpahan rezeki penduduk Kajang

Stesen MRT Kajang, foto SAFWAN MANSOR,

KAJANG – Kewujudan infrastruktur pengangkutan awam yang serba canggih sememangnya satu keperluan kepada masyarakat kini.

Terbaharu, rel Mass Rapid Transit (MRT) yang bakal beroperasi sepenuhnya pada 17 Julai ini menerusi laluan Sungai Buloh- Kajang pastinya menjanjikan perkembangan ekonomi dan kesalinghubungan yang lebih baik.

Menyelami hati penduduk sekitar Kajang, rata-rata mereka optimis kewujudan MRT di bandar ini bakal melonjak ekonomi dengan wujudnya infrastruktur pengangkutan awam yang lebih baik.

Menurut peniaga, Megat Hafizi, 44, aktiviti perniagaan di bandar ini juga dijangka berkembang pesat yang memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat khususnya warga Kajang.

“Kewujudan MRT di Kajang ini boleh merubah ekonomi disini, kerana memudahkan orang yang tinggal di sekitar sini untuk mendapatkan perkhidmatan awam, dan sekaligus mempercepatkan perjalanan dari Kajang ke Lembah Kelang.

Megat Hafizi, foto SAFWAN MANSOR, 17 JUN 2017

“Ia memudahkan akses kepada bandar-bandar lain. Malah dengan adanya MRT ini, pelancong luar lebih mudah ke sini untuk merasai kemeriahan yang terdapat di Kajang,” katanya.

Kajang sebuah bandar yang terkenal dengan daya tarikan tersendiri pastinya akan lebih mudah diakses masyarakat luar mahupun pelancong asing.

Sudah tentu, dengan adanya MRT Kajang pastinya berubah daripada landskap sebuah ‘pekan koboi’ kepada sebuah bandar yang saling melengkapi keperluan semasa masyarakat.

“Ia menjanjikan sesuatu yang baharu kepada warga Kajang, kita tahu bandar ini banyak tarikannya jadi saya rasa dengan adanya MRT ini akan menyenangkan warga Kajang dan orang luar untuk berhubung.

Christine Yong, foto SAFWAN MANSOR, 17 JUN 2017

“Kita ada sate Kajang, dengan itu akan mempromosikan makanan tradisi bandar ini dengan lebih meluas kerana akses yang lebih senang,” demikian menurut peniaga optimetri, Christine Yong, 30.

“Kewujudan MRT di sini amat bagus untuk tarik pelancong dari luar, malah ia akan mengurangkan kadar kesesakan di pusat bandar. Dari segi ekonomi pula, saya rasa akan lebih ramai orang tahu tentang Kajang, rasanya pelabur luar pun akan lebih tertarik untuk melabur di sini nanti,” kata Rozana Ariffin, 40.

Sementara itu Azila Busrah, 24, berkata, sebagai mewakili golongan belia di situ kewujudan MRT akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya yang sering berlaku di kawasan tersebut.

Azila Busrah, foto SAFWAN MANSOR, 17 JUN 2017

Menurutnya, dengan adanya MRT, masyarakat di sini akan lebih mudah bergerak tanpa perlu meredah kesesakan yang agak luar biasa kini.

“Ada MRT sangat membantu kami untuk bergerak ke ibu negara. Dengan adanya MRT ini, masalah kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di bandar ini akan selesai.

“Lebih memudahkan warga Kajang untuk menjalani kehidupan seharian, kita tahu Kajang sekarang terlalu sesak dengan kehadiran ribuan kereta. Dengan adanya pengangkutan awam terbaru ini, maka saya rasa Kajang akan lebih maju pada masa akan datang,” kata pembantu jualan itu.

Menurut pegawai kerajaan, Mohd Yusof Janallah Abidin, 42, beliau berterima kasih kepada kerajaan dalam menjamin keperluan rakyat dipenuhi.

Mohd Yusof Janallah Abidin

Ujarnya, banyak projek kerajaan sebelum ini telah memberikan impak yang positif kepada perkembangan kawasan sekeliling, malah pelaksanaan projek seperti MRT ini nyata akan turut memberi kesan secara tidak langsung kepada Kajang dan penduduk sekitarnya.

“Dulu ada komuter oleh kerajaan pun banyak pembangunan yang dikecapi rakyat, selepas Putrajaya dilancarkan dulu pun kawasan Kajang, Bangi pun mendapat laba yang tinggi dengan perkembangan ekonomi.

“Kalau pembangunan yang ada pun sudah banyak pastinya ekonomi pun akan turut berkembang. Malah penempatan penduduk akan lebih ramai dengan kemudahan yang ada di kawasan itu, jadi rakyat akan tertumpu di Kajang pula lepas ini,” kata Mohd Yusof. #JomnaikMRT – MalaysiaGazette