Home Ekonomi Nilai jualan sektor pembuatan bulan Mei RM61.9b

Nilai jualan sektor pembuatan bulan Mei RM61.9b

KUALA LUMPUR – Nilai jualan sektor pembuatan pada Mei 2017 terus mencatatkan peningkatan kukuh 19.5% dengan nilai jualan RM61.9 bilion berbanding RM51.8 bilion yang dilaporkan tahun sebelumnya.

Peningkatan nilai jualan pada bulan Mei 2017 berikutan pertumbuhan dalam semua subsektor terutama kumpulan produk peralatan elektrik dan elektronik (24.0%), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (20.5%) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (13.3%).

Ketiga-tiga subsektor ini menyumbang 79.8% kepada nilai jualan sektor pembuatan, menurut Jabatan Statistik.

Jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan Mei 2017 adalah seramai 1,051,923 orang, meningkat sebanyak 2.7% atau 27,164 orang berbanding 1,024,759 orang pada Mei 2016.

Jumlah gaji dan upah yang dibayar pada bulan Mei 2017 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya telah meningkat sebanyak 13.3% (RM405.8 juta) kepada RM3,464.2 juta.

Nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat sebanyak 16.4% kepada RM58,863 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette