KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mukhriz Mahathir perlu bersumpah tidak berminat dengan jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata, sekiranya benar penglibatan anak Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam politik bukan kerana mengejar jawatan itu, beliau perlu berbuat demikian untuk membuktikan ia fitnah.
“Kalau benar Mukhriz tidak mahu jadi Perdana Menteri, beliau perlu bersumpah di depan rakyat menyatakan dia benar-benar tidak mahu jadi Perdana Menteri atau pernah teringin untuk pegang jawatan itu.
“Jangan berdiam diri dan biarkan andaian serta spekulasi bertebaran di media sosial dan dalam kalangan pemerhati politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas maklumat sumber dalaman bahawa wujudnya gerakan dalaman yang didalangi Mahathir untuk meletakkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sebagai Perdana Menteri sekiranya PH berjaya dalam PRU-14.
Pada 17 Ogos 2016, Mukhriz menafikan penglibatannya dalam arena politik negara hanya untuk mencapai cita-cita untuk jadi Perdana Menteri adalah fitnah.
Dua hari sebelum itu, bekas Pegawai Khas Politik Mukhriz, Haris Che Mat dalam satu sidang media berkata, tindakan Mahathir mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah sebahagian daripada perancangan untuk menjadikan Mukhriz sebagai Perdana Menteri.
Ramesh berkata, perancangan itu berjalan ketika Mukhriz dan Mahathir di dalam UMNO lagi dan usaha itu berterusan sehingga di dalam Pakatan Harapan.
Ramesh juga mendesak Mukhriz supaya memberikan reaksi beliau apabila bapanya, Mahathir sudah menerima untuk melantik Anwar menjadi Perdana Menteri jika PH menang.- MalaysiaGazette