KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali patut tukar nama jadi Mat Jenin.
Itu reaksi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar hari ini ekoran ‘cita-cita’ Mohamed Azmin mahu mencabar Perdana Menteri di Pekan baru-baru ini.
“Saya nasihatkan Azmin supaya menghentikan angan-angan politik Mat Jenin apabila berminat bertanding menentang Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen Pekan pada PRU-14 akan datang.
“Dia patut pergi JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) tukar nama Azmin jadi Mat Jenin,” katanya.
Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu menyamakan Mohamed Azmin seperti watak cerita rakyat yang suka berangan-angan mahu menikahi anak raja semasa memanjat pokok kelapa.
Akhirnya, kata Noh, tangan Mat Jenin terlepas dan jatuh ke tertiarap ke tanah.
“Azmin ini angan-angan tinggi sama seperti Mat Jenin atau MB Mat Jenin,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Mohamed Azmin secara ‘berseloroh’ mahu bertanding di Pekan sekiranya diberi pilihan bertanding di luar parlimennya sekarang di Gombak.
Kenyataan itu diucapkannya bagi menangkis dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa beliau mahu menukar kawasan ke Ampang kerana menjangka tidak lagi mendapat sokongan Pas di Gombak pada PRU-14.- MalaysiaGazette
‘Buat apa Ampang, lebih baik Pekan’