KUALA LUMPUR – Struktur baharu Pakatan Harapan (PH) yang diterajui dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jelas memperlihatkan gabungan parti pembangkang itu kini semakin cacamarba.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, ini kerana akan timbul persoalan daripada segi kuasa untuk membuat keputusan dalam PH di antara jawatan ketua umum, pengerusi dan presiden.
“Struktur baharu ini jelas memperlihatkan PH sebagai pakatan cacamarba apabila meletakkan tiga nakhoda dalam satu kapal.
“Siapakah lebih berkuasa? Ini kerana tiada skop kuasa dan autoriti yang jelas antara ketiga-tiga jawatan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas struktur baharu PH hasil mesyuarat Majlis Presiden pembangkang hampir lima jam di ibu pejabat PKR, di Petaling Jaya, malam tadi.
Perkara itu diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut dilantik sebagai Pengerusi PH, manakala pasangan suami isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masing-masing sebagai Ketua Umum dan Presiden.
Mengulas lanjut, Nazir juga berkata, walaupun Anwar masih di penjara atas tuduhan liwat, PH masih menamakannya sebagai ketua umum dan Mahathir yang pernah memenjarakan Anwar pula dilantik sebagai pengerusi.
Beliau berkata struktur baharu itu dipercayai untuk mengambil hati Mahathir bagi membolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri sekiranya PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Lebih melucukan apabila ketiga pemimpin ini juga mempunyai haluan yang berbeza. Anwar menubuhkan PKR kerana menentang pentadbiran Mahathir yang zalim.
“Tun Mahathir menubuhkan PPBM kerana agenda peribadi untuk menjadikan anaknya Datuk Seri Mukhriz sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Katanya lagi, lebih menghairankan apabila PH meletakkan meletakkan beberapa individu yang tiada kredibiliti di peringkat jawatan timbalan presiden.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu dikaitkan skandal dengan isteri orang manakala Lim Guan Eng masih terpalit dengan isu rasuah banglo kini masih berjalan di mahkamah.
“Siapa pula akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri di antara mereka, sedangkan persoalan siapa bakal menjadi Perdana Menteri pun masih tak terjawab,” ujarnya.
Tambahnya, tindakan PH itu hanya mengelirukan rakyat dan memudahkan BN mendapat mandat besar pada PRU14 akan datang.
“Teruskanlah berebut kuasa kerana akhirnya rakyat akan tahu tembelang sebenar pemimpin PH,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.