Home Asnb Pembiayaan ASB tidak merugikan

Pembiayaan ASB tidak merugikan

Naib Presiden Jabatan Pemasaran Dan Jualan ASNB, Siti Norilah Shamsul Bahri bercakap ketika sidang media pada seminar pembiayaian PNB di Menara PNB, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI 15 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Mendapatkan pembiayaan bank untuk melabur di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) tidak merugikan sekiranya pelabur tidak menggunakan dividen pelaburan untuk membayar pinjaman.

Naib Presiden Bahagian Jualan dan Pemasaran Permodalan Nasional Bhd., Siti Norilah Shamsul Bahri berkata, pelabur seharusnya membuat pinjaman mengikut kemampuan sahaja dan bukannya terpengaruh dengan ejen-ejen yang mahu mereka melakukan pinjaman semaksimum mungkin dengan alasan hasil dividen pelaburan tersebut boleh digunakan untuk membayar semula pinjaman.

“Kami memang maklum dengan kegiatan sesetengah ejen yang memujuk pelanggan supaya membuat pembiayaan ASB secara maksimum dengan memberi alasan wang dividen yang diterima setiap tahun boleh digunakan untuk membayar balik pinjaman tersebut.

“Ada sesetengahnya (ejen) kami sudah tegur namun apa yang penting kesedaran pelanggan itu sendiri.

“Jika anda membuat pinjaman melebihi kemampuan dengan alasan boleh menggunakan dividen untuk membuat pembayaran,apa yang anda dapat setelah tempoh pinjaman tamat, katakan 25 tahun? Pelaburan pokok sahaja tanpa sebarang pertambahan kadar faedah sedangkan di dalam membuat pelaburan unit amanah kita mahukan kadar faedah kompound atau “duit beranak”.

“Jadi di dalam situasi ini, siapa yang untung?

“Tentulah pihak bank kerana mereka sejak awal-awal lagi sudah menerima keuntungan dari kadar faedah pinjaman yang telah ditetapkan ditambah pula pelbagai caj lain dikenakan semasa anda membuat pinjaman.

“Di sini saya tegaskan, pembiayaan ASB melalui sebarang institusi kewangan yang sah adalah tidak salah tetapi anda perlu faham dan tahu strateginya. Biar sama-sama untung iaitu anda sebagai pelabur dan bank sebagai pemberi pinjam,” katanya semasa Seminar Pembiayaan ASB di sini.

Menurut Siti Norilah, pembiayaan ASB sepatutnya dilihat sebagai komitmen hutang oleh peminjam sama seperti pembiayaan kenderaan mahupun pinjaman peribadi.

“Pernahkah anda beli kereta dan mengharapkan kereta tersebut memberi pulangan supaya anda boleh membayar semula pinjaman?

“Sama juga seperti pembiayaan ASB. Jadi mengapa anda memohon pembiayaan ASB namun mengharapkan dividen yang diterima setiap tahun dijadikan wang untuk pembayaran balik?

“Sewaktu memohon pembiayaan tersebut, seseorang pelabur sepatutnya sudah membuat kira-kira dengan mengambil andaian sekiranya ASB tidak membayar dividen pada tahun berkenaan, apakah anda mampu untuk membayar balik pinjaman tersebut, dari mana anda akan mendapatkan wang untuk membayar pinjaman berkenaan?

“Dengan cara ini, anda akan membuat pinjaman mengikut kemampuan sahaja,” katanya lagi.

Tambah Siti Norilah, pembiayaan ASB boleh memberi manfaat kepada pelabur-pelabur yang kurang berdisplin untuk membuat pelaburan secara konsisten menggunakan wang tunai setiap bulan.

Jelasnya, dengan menjadikan pembiayaan tersebut sebagai komitmen hutang, para pelabur secara tidak langsung terpaksa membuat pembayaran kepada bank pada setiap bulan dan ini membantu mereka menerima manfaat pelaburan dalam jangka masa panjang iaitu selepas tamat tempoh pembiayaan.- MalaysiaGazette