KUALA LUMPUR – Malaysia mendesak Israel supaya membuka semula Masjid Al-Aqsa bagi mengembalikan hak umat Islam untuk beribadat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Israel juga perlu menghentikan segala bentuk penindasan terhadap umat Islam di Palestin.
“Perbuatan Israel menghalang umat Islam beribadah adalah suatu pencerobohan hak beragama dan kezaliman yang besar di abad ini.
“Tindakan itu dilihat amat tidak bertamadun dan melanggar norma-norma kemanusiaan. Walau apa pun konflik yang berlaku antara Israel dan Palestin, Masjid Al-Aqsa yang suci itu tidak boleh sama sekali dilibatkan,” kata Jamil Khir menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Jamil Khir lagi, Israel telah melakukan pelanggaran Kovenan Antarabangsa Hak-hak Sivil & Politik (ICCPR 1966) yang turut ditandatangani mereka pada 3 Oktober 1991.
Katanya, tindakan melanggar Artikel 18 (1) – (3) ICCPR yang memberikan jaminan kebebasan mengamalkan agama seseorang individu dan masyarakat secara umumnya, merupakan penghinaan jelas terhadap undang-undang antarabangsa.
Ujarnya, hak penduduk Palestin juga dijamin oleh Perkara 27 Konvensyen Geneva mengenai keperluan menghormati hak-hak dan amalan beragama sesuatu masyarakat. – MalaysiaGazette