KAJANG – Projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) merupakan infrastruktur yang dinanti-nantikan oleh rakyat di negara ini khususnya warga Kajang.
Bagi warga emas, Romainon Mohd. Yusof, 66, pelancaran MRT yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di stesen Tun Razak Exchange (TRX) hari ini sudah menunggu lama ia menjadi realiti.
Menurutnya, pelancaran MRT akan mengurangkan isu kesesakan jalan raya yang sering ‘mencengkam’ bandar Kajang dan berharap ia akan beransur-ansur tenang selepas adanya MRT.
“Baguslah dengan adanya MRT ini, kurang sikit orang berebut-rebut naik bas. Lagi pun Kajang ini memang sesak terutama waktu puncak pagi dan petang. Kesesakan lalu lintas boleh diatasi dan membuatkan lebih ramai datang ke Kajang,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette.
Kewujudan tren serba canggih itu sememangnya dianggap macam ‘bulan jatuh ke riba’ kerana ia menjanjikan seribu satu peluang kepada warga Kajang pada depan.
Menurut seorang pelajar Sekolah Menengah Taming Jaya, Maizureen Nazirah Osman, 12, MRT sememangnya menjadi titik permulaan kepada pelbagai pembangunan yang lain.
“Sebagai pelajar, saya amat berbangga dengan apa yang dilakukan kerajaan, pelaksanaan MRT sememangnya memberikan peluang keemasan kepada warga Kajang untuk keluar daripada kesesakan jalan raya yang sudah lama dihadapi.
“Amat bagus untuk meningkatkan ekonomi dan ini amat diperlukan di sini, selaku masyarakat Kajang saya amat berterima kasih dengan kerajaan,” katanya.
Bagi Azhar Ibrahim, 44, warga Kajang sepertinya sangat memerlukan MRT yang sepatutnya sudah ada 10 tahun yang lalu bagi menjimatkan kos pengangkutan antara bandar.
Untuk rekod, projek MRT laluan Sungai Buloh- Kajang berjaya disiapkan dua minggu lebih awal daripada jadual asal iaitu pada hujung bulan ini.
Malah projek itu dapat menjimatkan RM2 bilion kepada RM21 bilion daripada bajet awal sebanyak RM23 bilion.
Laluan MRT Sungai Buloh- Kajang sepanjang 51 kilometer dengan 31 stesen itu bakal memberi manfaat kepada 1.2 juta penduduk di Lembah Klang. -MalaysiaGazette.