KUALA LUMPUR – Pengumuman Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang berhasrat untuk bertanding di beberapa kerusi Parlimen dan DUN pada PRU ke-14 tidak disenangi oleh pemimpin DAP.
Melalui satu tulisan di Facebook milik S. Arutchelvan, beliau memberi penerangan tentang tujuan partinya meletakkan lebih ramai calon pada PRU kali ini.
“PSM hanya tanding 2.5 peratus kerusi Parlimen dan DUN di seluruh negara di kawasan yang kami buat kerja. Calon kami semua aktivis dan pemimpim akar umbi macam petani dan orang asli.
“Kesemua calon kami akan isytiharkan harta dan tak main politik perkauman. Kami berdiri atas empat perkara – Bersih, Berani, Berprinsip dan Berjiwa Rakyat,” tulis AJK Pusat PSM itu.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen DAP dari Tanjong, Ng Wei Aik tidak berpuas hati terhadap kenyataan tersebut di ruangan komen pada status yang dimuat naik S. Arutchelvan.
Beliau seterusnya ‘mengugut’ mahu bermusuhan dengan PSM sekiranya parti itu bertanding di mana-mana kerusi yang dimenangi oleh pembangkang pada PRU ke-13.
“Kalau kamu bertanding di kerusi yang dimenangi oleh parti-parti Pakatan Harapan, kamu akan menjadi musuh saya”, kata Ng Wei Aik.
Akibat daripada ‘ugutan’ itu, Ng Wei Aik dibidas oleh beberapa orang ahli PSM dan penyokong Pakatan Harapan yang tidak senang dengan Ahli Parlimen DAP itu.
“Saya ingatkan DAP kesamaan dan keterbukaan. Tapi melihat seorang Ahli Parlimen (DAP) yang mendakwa kononnya berjuang untuk rakyat, tetapi bersikap sombong sebegini, benar-benar membuka mata.
“Sebagai warganegara dan pengundi Malaysia, siapakah anda (Ng Wei Aik) yang mahu jadi penentu untuk orang lain bertanding atau tidak?” bidas salah seorang pengguna Facebook. – MalaysiaGazette