Home Politik Azmin dakwa UMNO rampas program MRT

Azmin dakwa UMNO rampas program MRT

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

KAJANG – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mendakwa UMNO yang merampas pelancaran projek Transit Aliran Massa (MRT) dengan menjadikan program itu program parti.

“Maklumat yang kita dapat UMNO cuba merampas program MRT untuk dijadikan program UMNO.

“Kita tidak benarkan program dan projek kerajaan (Persekutuan) bertukar menjadi program parti,” katanya selepas merasmikan Persimpangan Bertingkat Bandar Baru Bangi-Kajang 2-Bandar Teknologi Kajang hari ini.

Timbalan Presiden PKR itu mengulas dakwaan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bahawa kerajaan Selangor melarang kakitangan awamnya hadir ke majlis pelancaran projek MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.

Noh berkata, sekiranya benar arahan itu ia jelas menunjukkan kepimpinan negeri itu mementingkan politik daripada pembangunan kepada rakyat.

Azmin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Noh itu.

Ujarnya, projek MRT adalah projek kelolaan kerajaan Persekutuan, dan tiada kena mengena dengan kerajaan negeri.

“Tidak benar (dakwaan ada larangan kerajaan negeri halang kakitangan turun perasmian MRT di Kajang), itu program kerajaan (Persekutuan),” katanya.

Projek MRT laluan Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer dengan kos RM21 bilion dirasmikan Najib akan memberi manfaat kepada 400,000 penumpang setiap hari. -MalaysiaGazette.