KUALA LUMPUR – Pelakon Neelofa tampil menjelaskan dia tidak melarikan diri ketika terserempak dengan Fattah Amin dan Fazura di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Neelofa, 28, turut mengakui dia hanya bersikap biasa ketika berdepan dengan situasi tersebut seolah-olah tiada apa yang berlaku ketika itu.
Pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Nor berkata, mereka ada berjumpa dan berselisih sebelum melakukan urusan daftar masuk masing-masing.
“Saya sampai KLIA pukul 6.30 pagi. Memang ada nampak dan berselisih dengan mereka.
“Namun kami buat hal masing-masing, selesaikan daftar masuk, pergi makan dan jumpa lagi di balai pelepasan.
“Tidak ada pula isu saya menyorok dan masuk lewat dalam penerbangan,” katanya.
Neelofa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran tudung terbaharu Naelofar Hijab iaitu Maya di Hotel Royale Chulan di sini hari ini.
Dia diminta mengulas tindakan Fattah dan Fazura yang menukar penerbangan mereka dari Koh Samui ke Bangkok di saat-saat akhir selepas terserempaknya di kaunter daftar masuk KLIA, baru-baru ini.
Neelofa berkata, jika berada di tempat Fattah, dia akan meneruskan penerbangan dan bersikap seolah-olah tidak nampak apa yang berlaku.
“Saya tidak buat salah dan tidak perlu drama sebegitu.
“Cuma saya kecewa kerana saya sudah lama rancang percutian ke Koh Samui.
“Cuma bila jadi insiden ini, keluar cerita tidak betul dan tidak best,” katanya. – MalaysiaGazette