Home Ekonomi Koperasi sasar golongan muda yang berani

Koperasi sasar golongan muda yang berani

KUALA LUMPUR – Gerakan koperasi menyasarkan penglibatan lebih ramai golongan muda dalam bidang perniagaan bernilai tinggi yang memerlukan inovasi, ilmu pengetahuan tinggi serta berani bersaing di peringkat global.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, banyak bidang keusahawanan yang boleh diceburi golongan belia melalui platform koperasi termasuk automotif, restoran dan salun kecantikan.

“Sehingga 31 Disember tahun lalu, terdapat 213 koperasi belia telah didaftarkan di bawah SKM dengan keanggotaan seramai 24,576 orang dan perolehan berjumlah RM20.67 juta. Kita optimis jumlah ini akan meningkat.

“Koperasi di negara ini juga perlu berubah dari fasa konvensional iaitu berniaga dalam kepompong yang selamat dan terjamin kepada satu fasa yang baharu,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan program Ruang Bicara: Peranan Gerakan Koperasi Dalam Kesejahteraan Rakyat dan Sambutan Hari Koperasi Negara 2017 terbitan Bernama News Channel (BNC), malam tadi.

Beliau berkata, koperasi turut berusaha mengekalkan momentum kenaikan enam peratus sumbangan perolehan setiap tahun yang disasarkan berjumlah RM50 bilion pada tahun 2020 hasil daripada pembentukan peneraju sektor dalam strategi pelaksanaan yang berlandaskan kepada Dasar Koperasi Negara 2011-2020.

“Koperasi pada tahun lalu mencatatkan jumlah perolehan RM39.66 bilion dengan jumlah ahli seramai 7.07 juta orang berbanding RM33.56 juta tahun sebelumnya.

“Tahun ini jumlah perolehan itu mampu ditingkatkan dengan sasaran melebihi RM40 bilion berikutan pertambahan bilangan koperasi di seluruh negara di samping inisiatif-inisiatif yang diambil oleh SKM,” katanya.

Sementara itu, Hari Koperasi Negara 2017 akan berlangsung selama sebulan bermula 21 Julai hingga 30 Ogos ini yang menampilkan tema ‘Transformasi Koperasi Ke Arah Kesejahteraan’ dan mengekalkan slogan asal ‘Satu Untuk Semua, Semua Untuk Satu’

Tema yang dipilih itu bertepatan dengan langkah transformasi gerakan koperasi ketika ini iaitu meningkatkan pendapatan melalui pelbagai aktiviti perniagaan yang memberi kesejahteraan kepada anggota. – MalaysiaGazette