BARCELONA – Paris Saint-Germain (PSG) sedia berbelanja besar bagi mendapatkan bintang Brazil, Neymar dengan klausa pelepasan 222 juta euro (RM1 bilion).
Sebelum ini, pengarah teknikal Barca, Robert Fernandez menegaskan, kontrak baru Neymar yang ditandatangani Oktober tahun lalu menyatakan pemain itu tidak berada di pasaran untuk memenuhi klausa pelepasan.
Pada masa sama, gergasi LaLiga itu tidak akan menerima tawaran untuk Neymar.
Bagaimanapun, PSG sanggup menentang arus untuk membuat perpindahan sensasi tersebut.
Akhbar harian Catalan, Sports, mendakwa penasihat Neymar berkata, pemain berusia 25 tahun itu perlu keluar daripada bayangan Lionel Messi di Camp Nou ketika ini.
Sekiranya PSG dapat mengikat Neymar, maka dia bakal menyertai rakan senegaranya, Dani Alves, Thiago Silva dan Lucas Moura di kelab liga Perancis tersebut. – MalaysiaGazette