Home Nasional Tiket integrasi komuter, perkhidmatan rel Prasarana akhir 2017

Tiket integrasi komuter, perkhidmatan rel Prasarana akhir 2017

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai hadir bersama Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Zohari Sulaiman (kanan) dan Pengerusi The Blossom Art Festival Malaysia 2017, Datin Chew Mei Fun (dua kiri) pada Majlis Pelancaran Ampang Park LRT Mural di LRT Ampang Park, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan dalam proses melaksanakan tiket integrasi untuk perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM), Transit Aliran Ringan (LRT), Monorail dan Transit Aliran Massa (MRT).

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ketika ini perkhidmatan komuter KTM masih belum menyertai tiket integrasi dilihat sebagai kekurangan dalam sistem pengangkutan awam di Lembah Klang.

“Kini tiket MRT boleh diperolehi di mana-mana stesten bersepadu LRT dengan hanya menekan satu butang di paparan skrin mesin tiket.

“Cuma satu saya nampak sebagai kekurangan ialah tren komuter antara bandar belum dimasukkan dalam rangkaian ini yang mana tiket untuk komuter masih perlu berurusan secara berasingan di kaunter tren KTM.

“Ini satu lagi sasaran saya sebagai menteri untuk melengkapkan sistem pengangkutan tren di bawah satu sistem supaya dengan satu butang kita nak pastikan semua tiket perjalanan untuk semua tren termasuk komuter digabungkan di bawah satu rangkaian,” katanya kepada pemberita di Jalan Ampang di sini.

Tambah beliau, pihak kementerian telah mengadakan perbincangan dengan KTM dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk memastikan pembelian tiket komuter boleh diperolehi dalam satu rangkaian yang diintergrasikan.

“Kedua-dua pihak telah bersetuju dalam perkara ini tetapi satu perkara yang perlu diteliti ialah sistem berlainan yang sedang digunapakai oleh KTM dan Prasarana.

“Saya sedang cuba sedaya upaya untuk mempercepatkan pelaksanaan tiket bersepadu itu menjelang akhir tahun ini.

“Sistem yang dikendalikan oleh KTM mempunyai beberapa kelemahan dan perkara yang perlu diperbetulkan dan dipertingkatkan sebelum sistem tiket digabungkan dengan MRT, LRT dan Monorail sebagai satu rtangkaian bersepadu di masa akan datang.

“Ia akan menjadi satu lagi kelebihan pengangkutan moden kepada hampir 520,000 pengguna setiap pagi di ibu kota,” katanya pada majlis perasmian mural pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di stesen LRT Ampang Park hari ini.

Mural yang mempamerkan kebudayaan dan kesenian silam masyarakat Cina adalah bersempena Festival Kebudayaan dan Kesenian yang akan berlangsung pada 1 hingga 31 Ogos ini di wisma MCA bersempena sambutan Kemerdekaan ke-60 pada tahun ini.

Katanya program yang dianjurkan bagi tahun kedua itu mensasarkan kehadiran lebih 30,000 orang.

“Mural dinding ini menjadi platform terbaik membawa mesej tentang festival kebudayaan ini kepada pengguna pengangkutan awam khususnya LRT bagi menjayakan program ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette