Home Utama Akta MKN terbukti berjaya tangani isu keselamatan – PM

Akta MKN terbukti berjaya tangani isu keselamatan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melihat Buku Dasar Keselamatan Negara (DKN) sambil diperhatikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin (kanan) pada majlis pelancaran buku tersebut di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 19 JULAI 2017.

PUTRAJAYA – Biar pun mendapat tentangan hebat daripada pembangkang mengenai pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN), Perdana Menteri hari ini mengakui akta itu terbukti tidak sia-sia.

Pelaksanaan Akta MKN yang diluluskan tahun lalu membuktikan ia mampu menyelesaikan pelbagai isu-isu keselamatan sama ada isu dalaman mahupun luar negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

“Akta MKN 2016 mula berkuatkuasa pada 1 Ogos 2016. Meskipun akta ini menerima pelbagai tohmahan dan persepsi negatif, khususnya daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, namun setelah hampir setahun dikuatkuasakan, kita bersyukur, tiada sebarang impak negatif pun yang wujud.

“Malah, saya difahamkan juga, MKN telah berjaya menyelesaikan pelbagai isu-isu keselamatan dalaman dan Iuaran, antaranya ketegangan diplomatik dengan Korea Utara baru-baru ini telah dapat diselesaikan dengan baik,” katanya dalam ucaptama majlis pelancaran Buku Dasar Keselamatan Negara di pejabatnya hari ini.

Hadir menyaksikan perasmian itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shabery Cheek.

Pada 19 Oktober 2015, kerajaan telah mengumumkan pengurusan keselamatan negara akan ditransformasi menerusi penggubalan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 atau Akta MKN 2016 dan menggubal Dasar Keselamatan Negara.

Selaras dengan itu, Dasar Keselamatan Negara akan dijadikan dasar payung dan rujukan kepada dasar-dasar sedia ada.

Ia merangkumi Dasar Keselamatan Dalam Negeri, Dasar Pertahanan Negara yang menjurus kepada keharmonian hidup rakyat.

“Dasar Keselamatan Negara ini diperkenalkan sebagai dokumen rujukan utama kepada semua Agensi Persekutuan dan Negeri dalam menggubal dasar-dasar sedia ada, bagi memastikan negara berupaya mencegah serta menangani pelbagai ancaman keselamatan yang semakin dinamik dan kompleks.

“Kerana, keselamatan negara Malaysia pada asasnya merujuk kepada suatu situasi bebas daripada ancaman terhadap nilai-nilai teras negara, sama ada ianya berbentuk ancaman dari dalam mahupun luar negara,” menurut Najib.

Pembangkang sebelum ini membuat dakwaan kononnya Akta MKN memberi ‘kelebihan’ kepada kerajaan dalam mengisytiharkan sesebuah kawasan itu sebagai kawasan keselamatan.

Malah mereka turut mendakwa Akta MKN akan memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan.

Mereka juga turut menyifatkan berlaku pertindihan kuasa diantara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

Untuk rekod, Akta MKN diluluskan di Dewan Rakyat pada 3 Disember dan diluluskan di Dewan Negara pada 22 Disember tahun lalu. – MalaysiaGazette.