NEW YORK – Jose Mourinho berazam untuk membina legasinya bersama Manchester United.
Pengurus Red Devils itu berhasrat untuk terus mengemudi pasukan itu untuk 15 tahun akan datang sehingga tahun 2032.
Pengurus kelahiran Portugal itu memberi indikasi bahawa dia sedang membuat persiapan untuk bersara di Old Trafford.
Bekas Pengurus Real Madrid dan Inter Milan itu juga dilaporkan memberitahu penyokong the Red Devils dia mahu kekal di Manchester untuk 15 tahun lagi.
Mourinho, 54, mengambil alih pengurusan Mancheser United pada musim 2016 lalu.
Sejak kehadirannya, Mourinho yang juga dikenali sebagai the Special One melakar nama pada musim pertama di Old Trafford dengan menjulang Perisai Komuniti England, Piala EFL dan Piala Liga Europa 24 Mei lalu.
Mourinho juga berjaya melayakkan pasukannya kembali ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan walaupun menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris di tempat keenam.
Bekas Pengurus Manchester United Sir Alex Ferguson telah menerajui pasukan selama 26 tahun dan Mourinho juga dikatakan bersedia untuk meneruskan legasi kariernya bersama Red Devils.
“Saya bersedia untuk membina legasi saya di Old Trafford untuk 15 tahun akan datang, kenapa tidak,” jawab Mourinho kepada ESPN Sports semalam.
“Pada masa yang sama saya perlu mengakui kesukaran capai misi itu kerana tekanan yang sedang menanti saya dalam mengemudi pasukan terbaik England dan bernilai di dunia.
“Semua pihak memberi tekanan kepada pengurus pasukan dan ramai mahukan kami sentiasa mencatat kemenangan dan misinya bertambah sukar setiap musim.
“Pun begitu kami cuba sedaya upaya untuk melaksanakan misi kelab menunjukkan tugas saya melangkaui keputusan bola.
“Pada pandangan saya, tugas saya adalah lebih berat berbanding peranan saya atas padang,” katanya.
Menurut Mourinho, kelab dan penyokong sudah sebati dengan bekas pengurusnya Ferguson
Katanya, selepas David Moyes dan Luis van Gaal, dia dapat melangkah ke musim kedua bersama Manchester United dan berharap terus kekal dan membawa kestabilan yang dikehendaki kelab.
“Di Chelsea saya sukses pada musim pertama tetapi dicampak keluar pada musim kedua dan begitu juga nasib Claudio Ranieri di Leicester City.
“Itulah tugas berat pengurus di setiap kelab.
“Saya rasa karier Ferguson bersama kelab ini sangat unik, saya tidak merasakan ia boleh dicapai dengan begitu mudah.
“Tiada siapa yang boleh kekal lama dalam sesebuah kelab dan sebuah liga bola sepak.
“Itulah yang saya mahu capai dalam era bola sepak moden ini bersama Manchester United,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette