JAKARTA – Seorang lelaki Australia mengancam untuk membunuh diri dengan melompat dari tingkat tiga Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai semalam.
Lelaki itu, yang dikenali sebagai Gregory Lee Butler, 46, mengejutkan orang ramai apabila berdiri di tepi tingkat tiga dan menjerit “rasuah” dan “biadap” banyak kali.
Pasukan keselamatan terpaksa beruding lebih sejam sebelum beliau diselamatkan.
Ketua Komunikasi PT Angkasa Pura, Arie Ahsanurrohin berkata, Butler dipercayai mengalami masalah psikologi dan ubat anti-tekanan ditemui dalam begnya.
Butler dilaporkan menjadi punca penangguhan pesawat AK379 AirAsia ke Kuala Lumpur pada Isnin lalu.
Ketika pesawat itu hendak berlepas, beliau tiba-tiba membuka pintu kokpit sambil menyatakan ada orang hendak membunuhnya.
Demi keselamatan, juruterbang terpaksa berpatah balik ke apron, kata Arie.
Pengendali lapangan terbang itu kemudian memutuskan untuk menghantarnya ke Hospital Sanglah di Denpasar.
Butler tidak akan didakwa kerana dia tidak melakukan jenayah, kata Arie. – MalaysiaGazette