Home Nasional Tiga utas jam antara tuduhan suapan diterima CEO ZPP

Tiga utas jam antara tuduhan suapan diterima CEO ZPP

Ketua Pegawai Eksekuti (CEO) dan pegawai kanan Pusat Zakat Pulau Pinang ketika dibawa ke mahkamah untuk disambung reman di Mahkamah Majistret Pulau Pinang baru-baru ini.

PULAU PINANG – Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Azman Abdul Samat didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini pagi ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berbentuk tiga utas jam tangan daripada beberapa kontraktor beberapa tahun lalu.

Azman, 50, yang juga Pengurus Besar ZPP mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan pertama, Azman didakwa menerima seutas jam tangan jenis Bonia Tesoro bernilai RM700 daripada pemilik syarikat MNI Ventrure Ros, Suryati Alang di rumahnya di Permatang Rambai, Permatang Pauh pada 2010.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, beliau didakwa menerima dua utas jam tangan jenis Tissot Touch bernilai RM2,000 daripada pemilik syarikat AI Global Trading, Ashri Ismail dan jenis Roscani Paris bernilai RM750 daripada pemilik syarikat Safa Murni Enterprise, Zaiyusri Ibrahim.

Perbuatan itu didakwa dilakukan beliau di pejabat ZPP di Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini antara 2011 hingga 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri.

Ahmad Ghazali kemudiannya memohon jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan ke atas tertuduh namun dibantah peguam bela, Mohamed Reza Rahim.

Hakim Sitarun Nisa kemudiannya membenarkan Azman diikat jamin sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan 21 Ogos ini untuk serahan dokumen dan pengurusan kes.

Sementara itu, di mahkamah sama, Ketua Bahagian Pengurusan Pembangunan Kualiti Asnaf Dan Ekonomi ZPP, Mohd. Wardi Ramli, didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa kerana memiliki kepentingan di dalam syarikat pembekal yang dilantik.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Wardi, 35, didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan apabila mengesyorkan syarikat AI Global Trading untuk membekalkan barangan bernilai RM10,240 pada Oktober 2015.

Selain itu, dia juga didakwa mengesyorkan syarikat yang sama pada 11 dan 14 November 2016 untuk membekalkan anak ayam dan dedak bernilai RM10,842.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai rasuah atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi berdasarkan pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Hakim Sitarun Nisa kemudiannya memerintahkan Mohd. Wardi yang diwakili peguam Hadi Mulyana Citrawijaya Suyadi dilepaskan dengan jaminan RM10,000 sementara menunggu serahan dokumen pada 14 Ogos ini. – MalaysiaGazette