Home Politik Mungkin jika permohonan dibuat oleh wanita, ROS akan beri maklum balas –...

Mungkin jika permohonan dibuat oleh wanita, ROS akan beri maklum balas – Guan Eng

Ketua Pengarah ROS, Mohammad Razin Abdullah.

PULAU PINANG – DAP hanya akan membuat keputusan berhubung arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) supaya mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC)nya selepas mengadakan pertemuan dengan jabatan itu.

Bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, sehingga kini pihaknya gagal bertemu ROS meskipun di sebalik beberapa percubaan berbuat demikian sama ada menerusi surat atau panggilan telefon.

Menurut beliau, DAP ketika ini juga sudah mempunyai beberapa keputusan berhubung arahan ROS itu hasil mesyuarat CEC di ibu negara semalam, namun enggan mendedahkan lebih lanjut mengenainya.

“Kita sudah mempunyai pelbagai opsyen (pilihan). Sebab itu, terserahlah kepada ROS tetapi sehingga kini, mereka enggan berjumpa dengan kita.

“Kita tidak mahu mendedahkan pilihan itu selagi belum mengadakan perjumpaan dengan ROS,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri berkata, pihaknya akan menghantar surat untuk bertemu ROS menerusi Naib Presiden DAP, Teresa Kok yang sebelum ini menerima surat arahan daripada ROS supaya diadakan semula pemilihan CEC.

“Mungkin jika permohonan untuk berjumpa itu dibuat menerusi seorang wanita (Teresa), maka ROS akan memberi maklum balas,” katanya.

ROS sebelum ini mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CECnya berikutan pelantikan anggotanya dan pemegang jawatan utama DAP menerusi pemilihan semula parti berkenaan pada 29 September 2013 dianggap tidak sah dari segi undang-undang.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah, berkata, pihaknya berpendirian DAP perlu mengadakan pemilihan CEC baharu yang sah dan telus bagi membolehkan para perwakilan memilih 20 orang anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

“Hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan DAP,” katanya. – MalaysiaGazette