KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua individu disyaki terlibat dalam penilaian harta dan harga bagi pembelian sebuah hotel di London oleh Felda Investment Cooperation (FIC).
Kedua-duanya ditahan di pejabat SPRM kira-kira- jam 1 tengah hari ketika hadir untuk memberi keterangan berkaitan siasatan pembelian hotel empat bintang tersebut di Kensington antara tahun 2013 dan 2015.
Mereka yang ditahan merupakan pengarah sebuah syarikat perundingan pengurusan aset berusia 45 tahun manakala seorang lagi adalah Ketua Unit Harta sebuah syarikat perkhidmatan pos yang berusia 36 tahun.
Ketika pembelian hotel itu dibuat, masing-masing merupakan Ketua Penasihat Korporat dan Pengarah syarikat Raine and Horne yang dilantik FIC untuk menguruskan pebelian hotel tersebut.
Susulan daripada siasatan yang dilakukan pasukan penyiasat, kedua-dua suspek disyaki telah memanupulasi harga hotel tersebut sehingga FIC telah membayar lebih puluhan jutaan ringgit.
Setakat hari ini, pasukan penyiasat telah merakam percakapan seramai 11 saksi berhubung siasatan tersebut dan susulan daripada tangkapan pada hari ini, SPRM tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan percaya kedua-dua suspek dapat memberikan maklumat berhubung pembelian hotel itu.
Beliau berkata kedua-duanya dijangka akan dihadapkan ke mahkamah putrajaya esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan SPRM sebelum tindakan lanjut diambill oleh pasukan penyiasat. – MalaysiaGazette