Home Politik 93 peratus setuju RCI ditubuhkan, siasat GLC zaman Tun M

93 peratus setuju RCI ditubuhkan, siasat GLC zaman Tun M

Presiden Pertubuhan Minda & Sosial Prihatin, Ramesh Rao. Foto SAFWAN MANSOR, 17 MEI 2017
KUALA LUMPUR – Tinjauan di akaun Twitter sebuah NGO mendapati 93 peratus netizen mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam skandal dagangan mata wang asing (FOREX) ketika zaman 90-an.
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao berkata, kerugian itu bukan sahaja ditanggung BNM bahkan banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.
“Ketika zaman kegawatan ekonomi dari 1997 dan 1998, negara mengalami masalah dan kita menyaksikan beberapa syarikat besar menutup operasi dan terpaksa gulung tikar kerana masalah ekonomi.
“Siapa tak tahu berapa banyak syarikat besar tutup, itu belum lagi syarikat GLC yang banyak bermasalah pada masa itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 21 Jun lalu, pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menyatakan Kabinet sebulat suara bersetuju dengan syor pasukan petugas khas bahawa terdapat keperluan RCI diwujudkan bagi menyiasat krisis yang melanda Bank Negara lebih 25 tahun lalu.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, penubuhan RCI akan membolehkan siasatan lebih terperinci dan menyeluruh mengikut undang-undang susulan terdapat kerugian yang ditanggung adalah lebih besar daripada dilaporkan kepada Parlimen dan Kabinet ketika itu.
Ramesh berkata, terdapat banyak dakwaan ketirisan dalam syarikat-syarikat GLC yang melibatkan pihak tertentu akibat salah guna kuasa dan rasuah.
Katanya, wang berkenaan digunakan untuk membuat ‘bail out’ kepada beberapa syarikat GLC lain pada masa itu sehingga menyebabkan aliran tidak seimbang dalam negara.
“Berdasarkan kepada tinjauan ini, amat wajar kerajaan menubuhkan satu lagi RCI untuk menyiasat kerugian yang dialami oleh GLC ini dan mengenal pasti puncanya.
“Amat wajar juga RCI itu mencadangkan langkah dan tindakan ke atas dalang yang menyebabkan kerugian itu berlaku pada masa itu,” tegasnya.
Katanya lagi, ketika ini rakyat sedang menunggu siasatan RCI FOREX berjalan dan Mahathir sudah pasti akan dipanggil memberikan keterangan.
“Jika RCI itu ditubuhkan, sudah tentu bekas Perdana Menteri itu akan dipanggil memberi keterangan di hadapan barisan anggota RCI yang diketuai bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan,” katanya. – MalaysiaGazette