Home Politik Jamal mahu belanja Rafizi naik MRT

Jamal mahu belanja Rafizi naik MRT

Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos bercakap kepada media selepas membawa mockup Datuk Seri Dr, Wan Azizah Wan Ismail mengiringinya ketika menaiki perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) dari Kajang ke Sungai Buloh. foto HAZROL ZAINAL, 21 JULAI 2017.

SUNGAI BULOH – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang lantang mengkritik kos pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) dipelawa menaiki pengangkutan awam itu secara percuma bagi perjalanan dua hala dari Kajang hingga Sungai Buloh.

Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos sedia ‘belanja’ Naib Presiden PKR itu menaiki MRT bersamanya bagi melihat sendiri kecanggihan MRT.

“Saya nak jemput dia (Rafizi), kita sama-sama naik MRT dari Kajang ke Sungai Buloh pada bila-bila masa dan saya belanja beliau untuk tiket perjalanan pergi dan balik.

“Saya bersedia pada bila-bila masa untuk satu gerabak dengan beliau. Sampai Sungai Buloh bolehlah pergi ke penjara untuk melihat ‘bos’ beliau sendiri,” katanya pada sidang media di stesen MRT Sungai Buloh di sini, hari ini.

Beliau mengulas kritikan Rafizi sejak tahun lalu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan kos sebenar pembinaan pengangkutan awam itu adalah RM21 bilion iaitu RM2 bilion di bawah kos asal.

Jamal juga kesal dengan sikap pengasas INVOKE itu dan pemimpin pembangkang lain yang tidak henti-henti menabur fitnah dan menghentam segala pembangunan oleh kerajaan walaupun untuk kepentingan rakyat.

“Kami berasa hairan melihat politik PH, apa yang kerajaan buat, sebegini baik, indah untuk kemudhan rakyat masih lagi mereka cuba menafikan dan memfitnah dengan pelbagai tohmahan.

“Kalau apa yang dilakukan oleh kerajaan ini baik, kita sambutlah dengan baik dan bukan terus menabur fitnah seperti isu saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat,” tegasnya.

Sementara itu, katanya lagi, lawatan beliau ‘bersama’ Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dari Kajang ke Sungai Buloh dengan menaiki MRT adalah sebagai mesej selepas ini Presiden PKR itu semakin mudah untuk melawat suaminya di penjara.

“Selepas ini tak payah susah-susah lagi melalui jalan yang sesak, MRT ini adalah pengangkutan terbaik

“Saya pergi ke banyak negara di dunia ini, MRT ini adalah yang terbaik di dunia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.