Home Politik Mana janji kerajaan Selangor jaga alam sekitar?

Mana janji kerajaan Selangor jaga alam sekitar?

KUALA LUMPUR – Penduduk kawasan Ampang tidak lama lagi bukan bukan kehilangan tempat untuk beriadah selepas penggondolan secara tidak terkawal di kawasan pembinaan projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).

Malah mereka berdepan dengan risiko lebih buruk kerana lebih terdedah kepada banjir kilat dan bekalan air keruh selepas projek EKVE beroperasi.

Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo mendakwa penduduk sekitar kawasan pembinaan projek mega itu trjejas kerana kawasan pembinaan yang begitu hampir dengan kawasan tadahan air.

“Kawasan tadahan air yang terlibat adalah meliputi sebahagian daripada Ampang, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Rungutan disebabkan berlaku hujan lebat, apabila air mengalir ke kawasan tadahan, keadaan menjadi keruh.

“Kerajaan negeri mahu memastikan setiap kawasan alam sekitar akan dijaga tetapi apa yang berlaku hari ini tidak seperti yang dikatakan. Ramai penduduk yang semakin tidak berpuas hati,” ” kata Ismail dalam satu sidang media di pejabatnya hari ini.

Antara kawasan terjejas juga melibatkan penduduk di Bukit Saga yang mengadu air mereka keruh dan termasuk kawasan Lembah Jaya yang baru-baru ini pernah dilanda banjir lumpur.

Taman Rimba Ampang ditutup kepada orang awam bagi pembinaan EKVE sejak Januari tahun lalu sehingga Mei 2019.

Projek sepanjang 24.16 kilometer bernilai RM1.55 bilion itu menghubungkan Sungai Long Kajang dengan Ukay Perdana, Ampang.

Aktiviti penggondolan hutan dan perancangan projek yang tidak menjaga alam sekitar di kawasan tersebut secara jelas sudah menimbulkan kesan buruk, malah banyak aduan yang dibuat mendakwa pihak pemaju mengabaikan aspek penjagaan alam sekitar disitu.

Ismail juga mempersoalkan janji sebelum ini dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memberi jaminan projek tersebut akan diberhentikan serta-merta jika wujud masalah.

“Sebelum ini Azmin pernah berkata pada 30 Oktober 2015 bahawa projek ini perlu diberhentikan serta merta jika terdapat masalah yang berlaku, tapi nampaknya projek ini diteruskan sehungga ke hari ini tanpa mengendahkan keluhan daripada penduduk di situ.

“Adakah Azmin sendiri lupa dengan apa yang dikatakan dulu?” soalnya lagi.

Turut hadir dalam sidang media tersebut, Pengerusi Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwandin Hamzah dan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Makmor Othman.

Azwandin dalam masa yang sama turut menyatakan sebelum ini surat rasmi telah dihantar kepada Exco Negeri Selangor berhubung masalah itu namun tiada sebarang jawapan malah terus membisu sejak dua bulan lepas.

“Kita dah pun hantar surat rasmi kepada mereka sebelum ini, surat itu mewakili NGO tapi mereka tidak peduli perkara itu.

“Tapi selepas tujuh hari yang kita berikan ini, kita tidak akan teragak-agak untuk turun ke padang mendapatkan tandatangan penduduk dan menghantar petisyen, memo juga akan dihantar kepada exco kerajaan negeri dan Menteri Besar.

“Kita nak semua perancangan tidak disorok lagi dan perlu dinyatakan secara jelas kepada rakyat, ini bukan isu politik, ini lebih kepada kepentingan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette