Home Nasional Perubahan CPD: KKM tidak berbicang dengan persatuan, individu

Perubahan CPD: KKM tidak berbicang dengan persatuan, individu

KUALA LUMPUR – Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan perubahan dengan mewajibkan pengumpulan mata (CPD) kepada semua pengamal perubatan dan menaikkan sijil pengamal tahunan (APC) disifatkan sebagai satu tindakan drastik tanpa perbincangan menyeluruh.

Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) berkata, tiada perbincangan dilakukan olejh KKM berhubung perkara itu di peringkat individu mahu pun persatuan.

Ini termasuk mewajibkan pengambilan insurans perlindungan kesihatan kepada semua pengamal perubatan Malaysia.

Presiden Perdim, Datuk Dr. Ahmad Syukri Ismail berkata, APC mewajibkan semua pengamal perubatan memiliki minimum 20 mata CPD pada tahun 2020, di samping insurans terbabit pada tahun sebelumnya iaitu tahun 2019, selain kenaikan yuran tahunan yang telah bermula tahun 2018.

Menurut beliau, untuk memperolehi minimum lima mata CPD, seseorang pengamal perlu hadir kursus Pendidikan Perubatan Berterusan (CME) selama dua hari ketika ini.

Kos yang perlu ditanggung adalah yuran pendaftaran dan bayaran locum (pengganti doktor) klinik masing-masing.

Selalunya lokasi kursus diadakan di Lembah Klang, jadi seseorang doktor yang berada di luar kawasan memerlukan kos tambahan seperti kos pengangkutan, penginapan hotel dan juga bayaran kepada doktor ganti kepada klinik beliau.

“Jadi kos untuk menghadiri kursus tersebut adalah lebih RM2,000. Kalau 20 mata seseorang perlu menghadiri empat kursus setahun, sekurang-kurangnya kosnya boleh mencecah sehingga RM10,000 seorang.

“Perdim menyarankan agar KKM mempertimbangkan agar tiga tahun pertama hanya 10 mata CPD diwajibkan dan apabila semua pengamal sudah biasa barulah dinaikkan kepada 20 mata CPD,” katanya.

Pilihan kedua adalah KKM hendaklah banyak menganjurkan kursus yang boleh diikuti oleh pengamal perubatan, yang mana kebanyakannya tidak mengenakan yuran pendaftaran.

Ini akan mengurangkan kos individu terbabit.

Segala aktiviti persatuan seperti AGM iaitu mesyaurat am tahunan hendaklah diberi mata CPD serta mesyuarat yang melibatkan pengamal perubatan terpaksa meninggalkan klinik diberi mata CPD juga.

Perdim juga mencadangkan agar doktor yang memberi taklimat kepada orang ramai turut mendapat mata CPD.

Penguasaan pemberian mata CPD oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMA) amat menyusahkan pengamal perubatan yang berjumlah lebih 37,000 orang kerana hanya sebilangan kecil sahaja menjadi ahli dan untuk menjadi ahli bukanlah percuma.

“Apa yang berlaku sekarang ialah pemberian mata CPD adalah secara tidak sama, yang mana hanya ahli MMA sahaja mendapat mata CPD tetapi ahli persatuan lain kadang-kala tiada mata CPD walaupun menghadiri pelbagai kursus.

“Jadi Perdim berharap persatuan lain juga boleh menjadi pengumpul mata CPD seterusnya memberi maklumat mata kepada MMC (Majlis Perubatan Malaysia),” tambahnya.

Pada masa sama, KKM diminta memperbanyakkan CME secara dalam talian, yang mana pengamal perubatan boleh menghadiri kursus tersebut tanpa memerlukan beliau meninggalkan klinik, sekali gus akan menjimatkan kos.

Berhubung mewajibkan insurans perlindungan pengamal perubatan kepada doktor dilihat sebagai cara memberi keuntungan kepada syarikat insurans.

Terdapat perbezaan insurans sekarang iaitu antara RM800 sehingga RM1,500 setahun menigkut syarikat insuran masing-masing.

KKM hendaklah meletakkan harga siling kepada insurans agar ia kekal murah dan seharusnya dibuka kepada semua syarikat insurans dan bukannya melantik syarikat tertentu sahaja.

Ia untuk memastikan tiada monopoli dan mengelakkan kenaikan premium kepada pengamal perubatan

“Seperti insurans kereta yang diwajibkan kepada semua kenderaan, insurans harus memiliki mekanisme yang mana jika seseorang pengamal perubatan tidak membuat tuntutan kerana tiada saman dikenakan ke atas beliau, rebet diberi secara berkala sehingga 55 peratus.

“Jadi Perdim berharap KKM sedia mempertimbangkan masalah pengamal perubatan bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat adalah terbaik serta tidak meningkatkan kos kesihatan yang terpaksa ditanggung. – MalaysiaGazette