Home Utama Baca Qunut Nazilah seminggu doa kebinasaan puak zionis

Baca Qunut Nazilah seminggu doa kebinasaan puak zionis

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini dinasihatkan membaca Qunut Nazilah selama seminggu berturut-turut selepas solat.

Gesaan itu bagi mendoakan kebinasaan ke atas puak zonis dan Israel dan sekutunya serta bagi mendoakan keamanan dan keselamatan bagi Masjid Al-Aqsa dan rakyat Palestin.

Itu kata Timbalan Pengerusi II, Lujnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali At-Takiri dalam satu kenyataan hari ini.

Seruan itu juga sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan sekarang.

“Penutupan dan sekatan ke atas Masjid Al-Aqsa oleh Israel sejak minggu lalu yang berlanjutan sehingga sekarang adalah suatu tindakan yang jelas melanggari undang-undang antarabangsa, bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat dan mencabuli hak kebebasan yang sepatutnya dinikmati oleh setiap orang,” ujar Mohd. Khairuddin.

Menurutnya, menjadi hak umat Islam untuk memakmurkan Masjid Al-Aqsa sebagaimana penganut Yahudi membuat upacara keagamaan di dalam synagogue dan penganut Kristian beribadat di dalam gereja dengan aman.

“Tambah-tambah lagi, Masjid Al-Aqsa dan sekitarnya adalah tapak suci milik umat Islam. Zionis-Negara Haram Yahudi sebenarnya adalah penjajah tanah Palestin yang patut berambus darinya,” ujarnya.- MalaysiaGazette