Home Dunia AS larang rakyatnya ke Korea Utara

AS larang rakyatnya ke Korea Utara

Salah satu monumen di Korea Utara yang menjadi tarikan pelancong. foto Agensi

WASHINGTON – Amerika Syarikat melarang rakyatnya daripada mengembara ke Korea Utara.

Jurucakap Jabatan Negara, Heather Nauert dalam satu kenyataan berkata, larangan itu akan diterbitkan minggu depan dalam Daftar Persekutuan, untuk dikuatkuasakan 30 hari kemudian.

Pegawai Amerika Syarikat mengaitkan tindakan itu dengan kematian pelajar Amerika yang dipenjarakan, Otto Warmbier.

Sebaik sahaja pengharaman itu berkuatkuasa, rakyat Amerika Syarikat perlu pengesahan khas untuk perjalanan ke atau dari Korea Utara.

Warmbier yang melancong ke Korea Utara dengan Young Pioneer Tours telah ditangkap pada 2016 kerana didakwa cuba mencuri tanda propaganda.

Beliau dihukum 15 tahun penjara tetapi telah dikembalikan ke Amerika Syarikat dalam keadaan koma pada bulan Jun lalu dan meninggal dunia seminggu kemudian.

Koryo Tours dan Young Pioneer Tours, yang kedua-duanya beroperasi di Korea Utara, mendedahkan pada Jumaat lalu bahawa syarikat itu telah dimaklumkan tentang larangan terbabit oleh kedutaan Sweden, yang bertindak untuk Amerika Syarikat kerana Washington tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Pyongyang.

Rowan Beard, dari Young Pioneer Tours memberitahu BBC, kedutaan itu mendesak semua warga negara Amerika Syarikat keluar dari Pyongyang dengan segera.

Beliau berkata, kedutaan itu sedang mengenal pasti jumlah pelancong Amerika Syarikat yang berada di Korea Utara. – MalaysiaGazette