KEPALA BATAS – Serangan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap kerajaan ketika ini akan berbalik kepada beliau sendiri untuk dijawab dan dipertanggungjawabkan.
Ini kerana, menurut Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, serangan itu yang membabitkan isu seperti skandal mata wang dan Forex, kejatuhan ekonomi dan kepincangan badan kehakiman berlaku di bawah 22 tahun pemerintahannya.
Malah, ujar beliau, sejarah juga menunjukkan bagaimana pembangkang khususnya Penasihat DAP, Lim Kit Siang berulang kali mempersoal dan mengkritik Dr. Mahathir berhubung isu-isu terbabit ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
“Kit Siang ketika dipanggil pasukan penyiasat kes skandal Forex baru-baru ini menyebut pihak yang bertanggungjawab dalam isu berkenaan ialah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu iaitu Dr. Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini pastinya akan mewujudkan keadaan tidak selesa dalam kalangan pemimpin pembangkang berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di sini hari ini.
Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, kecelaruan dalam isu yang menjadi pertikaian antara Dr. Mahathir, Anwar dan pemimpin pembangkang khususnya DAP tersebut sepatutnya membuka mata rakyat tentang kepincangan dalam Pakatan Harapan ketika ini.
Malah, ujar beliau, kewujudan Pakatan Harapan juga sangat jelas semata-mata untuk mendapatkan kuasa dalam kalangan pemimpin utamanya, iaitu agenda yang jauh lebih utama berbanding membela rakyat.
Dalam perkembangan lain, Khairy turut menempelak DAP yang sehingga kini menjadikan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebagai sasaran kemarahan dan kritikan ekoran arahan supaya mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC)nya.
Sedangkan, ujar beliau, tanpa arahan daripada ROS itu sekali pun rakyat khususnya ahli-ahli akar umbi DAP mengetahui pemilihan CEC perlu diadakan disebabkan dua pemilihan terdahulu yang terpalit kontroversi dan manipulasi.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan DAP yang mana Barisan Nasional (BN) tidak gentar untuk menentang parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 sekali gus menyangkal dakwaan kononnya BN menggunakan ROS untuk membatalkan pendaftaran DAP kerana takut berdepan parti berkenaan. – MalaysiaGazette