Home Politik UMNO kalah bukan kerana pembangkang kuat

UMNO kalah bukan kerana pembangkang kuat

Ahmad Zahid Hamidi. foto SAFWAN MANSOR,

KUALA LUMPUR – UMNO boleh melakar sejarah baru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini jika jentera parti berpegang kepada tiga faktor yang menentukan kemenangan lebih dua per tiga.

Faktor itu ialah perpaduan dalam rumah UMNO, perpaduan dalam rumah Barisan Nasional (BN) dan kriteria calon.

Menurut Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, calon yang mempunyai 75 peratus menang, tetap akan kalah kalau faktor perpaduan tidak ada dalam UMNO dan BN.

Katanya, kekuatan UMNO dan BN hanya terletak pada perpaduan kaum antara parti terbesar orang Melayu itu dengan MCA dan MIC.

“Jika faktor ini tidak ada, letaklah calon yakin menang pun, kita akan kalah dan tidak akan tercapai sasaran kita untuk mendapat lebih dua per tiga kerusi.

“Kekalahan kita ini bukan kerana pembangkang kuat, tetapi kita lemah. Kita lebih mengutamakah perpecahan daripada perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, beliau melihat hubungan antara sayap parti seperti Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO seperti membawa haluan masing-masing.

Sedangkan, katanya, mereka boleh bekerja bersama parti untuk menarik sokongan pengundi, bukan bersengketa sesama sendiri.

“Banyak lagi tugasan boleh kita lakukan untuk membantu parti seperti mendekati pengundi awal. Mereka ini kebanyakannya tinggal di luar bandar dan hanya bekerja di bandar.

“Mereka hidup daif, kebajikan mereka tidak dipedulikan. Kenapa kita sebagai jentera tidak mendekati mereka, jaga kebajikan mereka.

“Jangan dekat nak pilihan raya baru kita dekati mereka dan merayu undi mereka,” katanya.

Ahmad Zahid turut mengingatkan kepimpinan UMNO agar tidak berasa selesa apabila berada di barisan atas, peluang untuk menjadi calon agak cerah.

“Tanggapan itu silap. Yang berada di atas tidak semestinya layak menjadi calon dan yang berada di bawah mungkin layan menjadi calon,” katanya. – MalaysiaGazette