Home Politik Bekas ahli DAP beri bunga, ‘raikan kejayaan’ Kit Siang

Bekas ahli DAP beri bunga, ‘raikan kejayaan’ Kit Siang

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao (kiri) lantang memperkatakan sesuatu kepada wakil DAP, Edmund Teoh Kheng Yaik selepas menyerahkan bunga berhubung isu Lim Kit Siang berjaya porak perandakan perpaduan melayu di luar Bangunan Parlimen Malaysia. foto SAFWAN MANSOR, 25 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Atas ‘kejayaan’ penasihat DAP, Lim Kit Siang memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan masyarakat Melayu dan Cina di negara ini, bekas ahli DAP, Tony Tan hari ini menyampaikan sejambak bunga kepada pemimpin DAP itu.

Menurut Tony, kesediaannya memberikan bunga berkenaan kepada Kit Siang juga boleh diertikan sebagai tanda protes atas hubungan baik beliau dengan bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Orang Cina kena fikir baik-baik pemimpin sebegini. Masih mahu sokong DAP ke?” katanya di pintu masuk Parlimen hari ini.

Turut hadir, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao yang juga bekas ahli DAP Subang.

Ujar Tony lagi, gimik itu dibuat setelah menyaksikan DAP berjaya menarik Mahathir dalam menyertai pembangkang bagi menentang BN.

“Dia selalu fitnah pemimpin negara. Jadi saya tolak dia, kerana dia sudah lama buat fitnah begini. Dia selalu katakan orang Melayu tidak suka akan orang Cina, dia mahu pegang kuasa sahaja,” katanya.

Kedua-dua mereka hadir di Parlimen kira-kira sejam untuk menyerahkan bunga berkenaan kepada Kit Siang namun kelibat Ahli Parlimen Gelang Patah itu tidak juga muncul.

DAP hanya menghantar Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok, Teoh Kheng Yeik untuk menerima jambangan bunga berkenaan.

Namun berlalu perang mulut antara Kheng Yeik, Ramesh dan Tony.

Ekoran itu, sepuluh anggota polis dikerah mengawal keadaan, sekali gus menghalang kedua-dua bekas ahli DAP itu daripada memasuki perkarangan Parlimen. -MalaysiaGazette.