SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menolak spekulasi bahawa beliau akan bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata bagaimanapun, beliau akan terus mempertahankan kerusinya di kawasan itu.
“Banyak sangat spekulasi dan ramai mengatakan saya hendak ke kerajaan persekutuan dan bertanding di Parlimen. PRU ke-14 ini saya akan terus bertanding di DUN Rantau,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 3,000 pengunjung pada Majlis Sambutan Hari Raya dan Sambutan Bulan Kemerdekaan kali ke-60 di Taman College Height, Sikamat dekat sini malam tadi.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman College Height, Taslim Khan Kutob Din.
Mohamad berkata sejak beliau menjadi Menteri Besar, cukai tanah dan pintu di negeri ini tidak pernah dinaikkan dan berhasrat mengekalkan langkah itu selagi diberi mandat memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri.
Sementara itu, pada majlis berkenaan Mohamad turut menyampaikan Jalur Gemilang kepada 20 KRT DUN Sikamat bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan tahun ini.
— BERNAMA