Home Akhbar Cina Pemandu guna telefon akan diheret ke mahkamah

Pemandu guna telefon akan diheret ke mahkamah

JPJ bercadang mengheret lebih banyak pesalah ke mahkamah dan ia termasuk mereka yang melanggar lampu merah, gagal memakai tali keledar, memotong kenderaan di garisan berkembar dan memotong barisan.

PETALING JAYA – Pemandu yang gagal memakai tali keledar dan menggunakan telefon bimbit akan diheret ke mahkamah dalam usaha Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengatasi dua ‘kesalahan lazim’ itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nadzri Siron berkata, pihaknya bercadang mengheret lebih banyak pesalah ke mahkamah dan ia termasuk mereka yang melanggar lampu merah, gagal memakai tali keledar, memotong kenderaan di garisan berkembar dan memotong barisan.

Selain itu, kenderaan komersial yang menggunakan lorong kiri secara berterusan juga akan dikenakan tindakan mahkamah.

Nadzri memberitahu Sinchew Daily, JPJ sedang menunggu maklum balas Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan polis mengenai cadangan itu.

Beliau berkata, tindakan itu memerlukan penelitian kerana kesalahan serupa turut dimasukkan ke dalam sistem demerit AWAS, justeru perlu mengelakkan pertindihan.

“AWAS mengenakan kompaun dan menggantung lesen, dan tindakan mahkamah juga boleh menjurus kepada tindakan serupa.

“Isu pertindihan perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.

Pada masa ini, hanya pemandu yang menyalah guna laluan kecemasan dan gagal menyelesaikan denda di tempat kejadian atau balai polis akan diheret ke mahkamah.

Selain itu, pengguna jalan raya yang melanggar tujuh kesalahan semasa operasi musim perayaan akan diheret ke mahkamah.

Kesalahan tersebut termasuk melanggar lampu merah, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, menyalah guna laluan kecemasan, memotong barisan dan mengguna lorong kiri secara berterusan (kenderaan komersial).