KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, soal samada beliau dicalonkan semula untuk bertanding di Parlimen Pokok Sena mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) akan datang tidak penting.
Ujarnya, sudah tidak penting lagi untuk menjadi calon Pas bagi menentang Barisan Nasional (BN) kerana padanya pembangkang harus bersatu hati dalam usaha menjatuhkan BN.
“Bagi saya bukan soal (dicalonkan atau tidak), tetapi yang penting ialah perubahan kerajaan,” katanya ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka dan Ulangtahun MalaysiaGazette di Istana Budaya semalam.
Malah katanya, beliau tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya ‘digugurkan’ daripada mewakili Pas pada PRU-14 kelak.
Justeru itu, beliau secara terang-terangan mempelawa Pakatan Harapan (PH) untuk meletakkan calon bagi menghadapi Pas dan BN di kerusi Pokok Sena.
“Kalau ada pihak lain daripada PH yang bersedia untuk menamakan calon di situ, bagi saya ia dialu-alukan kerana yang penting kerajaan mesti berubah,” katanya.
Mahfuz kali pertama bergelar Ahli Parlimen Pokok Sena pada PRU 2008 setelah berjaya mencipta kejutan apabila mempertahankan kerusi tersebut pada PRU13 dengan 34,657 undi mengalahkan calon BN, Datuk Shahlan Ismail yang memperoleh 30,485 undi.
Pendirian Mahfuz terhadap Pas dipersoal banyak pihak apabila dilihat memuji PH kerana berjaya memuktamadkan struktur dan logo rasmi gabungan itu. – MalaysiaGazette.