Home Politik Tamatkan sidang DUN awal bukti Azmin bacul – Zein

Tamatkan sidang DUN awal bukti Azmin bacul – Zein

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang hanya bersidang sehari setengah bukti Menteri Besarnya takut jawab soalan pembangkang.

Itu dakwaan Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail.

Menurutnya, berdasarkan portal kerajaan negeri, sidang DUN Selangor sepatutnya diadakan selama lima hari bermula semalam tetapi sudah ditamatkan tengahari tadi.

“Dengan andaian tersebut (sidang DUN lima hari) para wakil rakyat dari BN yang merupakan pembangkang di Selangor telah telah menyiapkan beberapa soalan tambahan untuk diajukan kepada kerajaan negeri.

“Antara isu yang hangat ialah berkaitan SPLASH, penyalahgunaan duit Marris serta isu kebajikan rakyat yang tidak dijaga.

“Namun tindakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menamatkan sidang lebih awal iaitu hari ini adalah tindakan bacul kerana mengelak dari menjawab soalan-soalan tambahan dari pihak pembangkang,” kata Zein.

Menurutnya, kepimpinan kerajaan negeri juga menjadikan sidang DUN sebagai medan membangkitkan isu-isu persekutuan seperti isu 1MDB, sedangkan sidang DUN sepatutnya membincangkan isu berkaitan hal ehwal negeri.

“Sikap hipokrasi Azmin jelas merugikan rakyat Selangor dan ternyata beliau lebih berminat bermain dengan isu-isu persekutuan dari membincangkan soal tadbir urus negeri secara berhemat.

“Kepada Azmin saya ingatkan agar bersabar dahulu sehingga PRU akan datang. Sebaiknya beliau hanya bertanding untuk kerusi Parlimen sahaja, lupakan kerusi DUN kerana minat sedara lebih kepada isu-isu berkaitan dasar-dasar kerajaan persekutuan.

“Tunjukkan contoh tadbir urus negeri yang tulus ikhlas dahulu sebelum mempertikaikan sidang Parlimen,” katanya.

Menurut Zein, Azmin hanya si atam jantan gah berkokok, tapi ekor bergelumang tahi.
– MalaysiaGazette