Home Utama Indeks Jenayah menurun sejak Najib jadi PM – Ahmad Zahid

Indeks Jenayah menurun sejak Najib jadi PM – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Indeks jenayah sebenarnya menurun sejak tahun 2013 hasil langkah-langkah transformasi oleh kerajaan namun persepsi orang ramai masih belum berubah.

Mereka masih bimbang dengan kadar jenayah yang dianggapnya tidak berubah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, indeks jenayah menurun sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan beberapa transformasi melibatkan agensi penguatkuasaan sehingga menyaksikan purata indeks jenayah sekitar 47 peratus sejak tahun 2013 hingga tahun 2017.

“Apa yang disebut statistik indeks jenayah menurun sebenarnya mengalami penurunan 47 peratus bermula apabila transformasi dilakukan oleh Perdana Menteri sejak beliau ambil alih pada tahun 2009.

“Dengan beberapa transformasi yang dilakukan indeks jenayah turun 10 peratus tapi paling drastik indeks jenayah menurun sejak tahun 2013 hingga 2017, ia sebenarnya menurun lebih 53 peratus yang menyebabkan purata indeks jenayah kepada 47 peratus daripada tahun 2013,” kata beliau semasa forum Addressing Perception on Safety and Security di sini hari ini.

Namun, Ahmad Zahid menegaskan, statistik sahaja tidak mencukupi dan pihak polis perlu mencari jalan untuk menangani isu persepsi dengan lebih berkesan.

“Tapi kita pun setuju, kita bukan nak negara sifar jenayah, kita nak supaya reduction jenayah itu berlaku walaupun mustahil untuk dapatkan tahap sifat jenayah.

“Kita juga mahu usaha-usaha menambah baik usaha pihak polis ada keberkesanan. Itu yang kita mahukan tapi apa yang telah kita lihat keberhasilan secara statistik sahaja tidak mencukupi,” ujarnya.

Beliau menggesa supaya pihak polis khususnya mewujudkan rasa ketenangan dalam kalangan masyarakat dan memastikan keselamatan mereka terjamin tanpa rasa diancam dengan sebarang jenayah untuk memerangi persepti tidak baik terhadap usaha membanteras jenayah.

“Kita kena create peace of mind dalam kalangan masyarakat keseluruhannya kerana kita tahu bad news, berita-berita yang kurang baik atau tidak baik sudah jadi bahan pemberitaan yang meliputi kira-kira 90 peratus daripada berita-berita yang baik.

“Kita mesti mewujudkan keadaan be safe and feel safe,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette