Home Dunia Laporan tidak tepat, majalah Arabian Business digantung

Laporan tidak tepat, majalah Arabian Business digantung

DUBAI – Majalah dan laman sesawang Arabian Business digantung selama sebulan selepas menerbitkan laporan kegagalan projek hartanah.

Laporan itu yang diterbitkan didakwa berita yang tidak benar, menurut Pejabat Media Dubai.

“Majalah itu telah melakukan pelanggaran terhadap peraturan dan undang-undang Pihak Berkuasa Kluster Kreatif Dubai (DCCA) dengan menerbitkan berita palsu berdasarkan informasi yang tidak tepat,” kata pernyataan tersebut tanpa menghurainya.

Arabian Business baru-baru ini melaporkan bahawa mahkamah di Dubai sedang dalam proses membubarkan berpuluh-puluh projek hartanah yang gagal di bandar raya itu, menggambarkan kemerosotan hartanah yang merupakan sebahagian daripada krisis kewangan global pada tahun 2009.

Tidak lama kemudian artikel dalam talian itu dikeluarkan dan mencatatkan permohonan maaf secara online pada hari Jumaat.

Ia berkata, artikel itu ‘terlepas pandang’ dan ia berkaitan dengan projek-projek yang bermula dari tahun 2010 yang ‘kini ketinggalan zaman’.

Tetapi pada masa itu, artikel itu telah pun dipetik oleh penerbitan lain – mengaibkan pihak berkuasa UAE dan media berkaitan negara.

Pejabat media Dubai pada hari Sabtu melalui Twitter berkata, ia menolak dakwaan laporan yang diterbitkan oleh Arabian Business dan diterbitkan oleh media Qatar mengenai projek-projek tersebut. – MalaysiaGazette