IPOH – Seorang lelaki yang disyaki meliwat beberapa pelajar lelaki ditemui mati di bilik hotel di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Senior Asisten Komisioner Datuk Gan Tian Kee berkata, seorang pekerja hotel yang menemui lelaki dalam keadaan menggantungkan diri telah menghubungi polis kira-kira pukul 5.40 petang, Selasa lalu.
Kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mendadak sementara menunggu siasatan lanjut, katanya.
Gan berkata, sehari sebelum kejadian itu, polis telah menerima laporan daripada seorang budak lelaki bersama dua rakannya berusia 14 dan 15 tahun.
“Mereka membuat laporan dengan mendakwa diliwat dan dicabul oleh jurulatih fisioterapi pasukan bola sepak sekolah mereka.
“Suspek memberikan sebiji pil kepada mangsa dengan alasan untuk membesarkan badan dan selepas menelan pil, mangsa menjadi separuh sedar dan suspek akan melakukan serangan seksual.
“Selepas melakukan perbuatan itu, suspek akan membawa mangsa-mangsa membeli pakaian, seluar dan telefon bimbit,” katanya memberitahu polis sedang mengesan beberapa mangsa lagi.
Siasatan yang dijalankan menunjukkan insiden itu berlaku dari Mei 2016 hingga Mei tahun ini di rumah suspek dan di hotel.
Gan berkata, mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette