SAO PAULO – Mahkamah telah membebaskan penyerang Barcelona, Neymar daripada sebarang pertuduhan jenayah dalam kes mengelak cukai yang berlarutan di Brazil, semalam.
Hakim di Sao Paulo berkata, bintang bola sepak itu dilepaskan kerana wujud “kekurangan alasan” dalam kes yang mendakwa Neymar membayar cukai pendapatan yang kurang antara tahun 2011 dan 2014.
Bapa Neymar yang juga ejennya menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan besar.
“Kami telah menerima berita mengenai perbicaraan kes mengelak cukai dan keputusan itu adalah kemenangan besar buat kami,” katanya dalam kenyataan.
“Secara rasmi, prosesnya ditutup dan membuktikan kesahihan perbuatan kami.”
Neymar begitupun masih perlu membayar sejumlah wang kepada pejabat cukai Brazil.
Pada 2015, Pejabat cukai persekutuan Brazil mendakwa Neymar atas tuduhan mengelak cukai berjumlah AS$19.94 juta dolar (RM85.27 juta) berpunca daripada pendapatan yang diperoleh di Santos dan Barcelona serta tajaan di antara tahun 2011 dan 2014.
“Ia adalah tuduhan yang tidak berasas terhadap saya selama empat tahun. Kami sekeluarga dan kakitangan syarikat berdepan pelbagai derita” kata bapa Neymar.
Ketika ini, masa depan Neymar menjadi spekulasi dengan media di Sepanyol, Perancis dan Brazil mengaitkannya dengan perpindahan mega ke Paris St Germain. – MalaysiaGazette