NEW YORK – Angelina Jolie tampil berkongsi kisah penceraiannya dengan aktor Brad Pitt, 53, yang disifatkan sebagai detik paling sukar dalam kehidupannya.
Jolie, 42, memberitahu, gara-gara peristiwa sedih itu dia terpaksa menjadi surirumah selama beberapa bulan.
Namun aktres itu berkata, dia telah berjaya meningkatkan kemahiran memasak, selain kerja rumah lain seperti membasuh pinggan mangkuk dan membersihkan kotoran anjing peliharaannya.
Pada September tahun lalu, Jolie mengemukakan permohonan untuk bercerai dengan Pitt atas alasan tiada persefahaman.
Dia juga mendakwa bekas pemenang Anugerah Oscar itu memukul anak lelaki mereka ketika dalam pesawat dari Perancis ke Los Angeles yang kini menjadi kes dalam Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Namun, FBI dan pekerja sosial membebaskan Pitt daripada tuduhan itu.
Berikutan itu, Pitt menuntut hak penjagaan bersama enam anak mereka, iaitu Maddox, 15; Pax, 13; Zahara, 12; Shiloh, 11, dan pasangan kembar Vivienne dan Knox, 9, manakala Jolie memohon hak penjagaan penuh.
Sementara itu, Jolie berkata, kehidupannya bertukar lebih teruk pada musim panas tahun lalu.
“Kami memerlukan ruang kerana keadaan menjadi sangat sukar ketika itu,” katanya kepada majalah Vanity Fair,
Temubual itu diadakan sebaik Jolie berpindah ke kediaman bernilai AS$25 juta (RM106.86 juta) yang memiliki enam bilik tidur dan 10 bilik mandi bersama enam anaknya di kawasan kejiranan Los Feliz di Los Angeles.
“Keutamaan saya adalah menyediakan hidangan dan membersihkan rumah.
“Pada masa sama, saya mengikut kemahuan anak-anak dengan menyertai kelas memasak.
“Selama sembilan bulan, saya berjaya menjadi surirumah yang baik dan berjaya meningkatkan kemahiran yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, Jolie berkata dia turut dikesan menghidap palsi bell (bell palsy).
Palsi bell ialah satu keadaan kelumpuhan saraf muka yang mengakibatkan kelemahan otot pada satu sisi muka, disertai dengan kegagalan menutup mata pada sebelah muka itu.
Bagaimanapun, katanya, beliau disahkan sembuh daripada palsi bell hasil rawatan akupuntur.
Jolie pernah menjalani pembedahan membuang kedua-dua payudara, selain ovari pada 2013 untuk mencegah kanser yang menjadi punca kematian ibu, nenek dan ibu saudaranya – MalaysiaGazette