Home Ekonomi Harga minyak naik ke paras tertinggi

Harga minyak naik ke paras tertinggi

Gambar hiasan. foto Getty Images

NEW YORK – Harga minyak mentah naik ke paras tertinggi dalam tempoh lapan minggu semalam, berikutan rali dalam niaga hadapan minyak petrol Amerika Syarikat (AS).

Ini menyebabkan peningkatan berterusan dalam minggu ini selepas anggota OPEC berjanji untuk mengurangkan eksport dan kerajaan AS melaporkan penurunan mendadak dalam inventori minyak mentah.

Niaga hadapan minyak petrol AS mencatat keuntungan terbesar dari segi peratusan dalam kompleks petroleum, iaitu 1.7 peratus kepada paras tertinggi sejak 24 Mei lalu.

“Sekarang adalah masa untuk pemanduan musim panas, jadi pasaran memerlukan bekalan minyak petrol yang mencukupi dan dengan prestasinya yang baik, pasaran juga dilihat memberangsangkan,” kata perunding di ION Energy Houston, Kyle Cooper.

Kontrak hadapan Brent naik 52 cents atau satu peratus untuk ditutup kepada AS$51.49 setong, manakala A.S West Texas Intermediate (WTI) menokok 29 cents atau 0.6 peratus untuk ditutup kepada AS$49.04.

Ia adalah penutupan tertinggi bagi kedua-dua kontrak berkenaan sejak 30 Mei lalu.

“Momentum kukuh pada masa ini dipacu oleh pelbagai sokongan lain termasuklah hasil yang memberangsangkan daripada mesyuarat OPEC pada Isnin lalu dan penurunan inventori di AS,” kata Presiden Firma Penasihat, Ritterbusch & Associates, Jim Ritterbusch dalam satu nota semalam. – MalaysiaGazette