Ketua Bahagian Sivil di Jabatan Peguam Negara Datuk Amarjeet Singh berkata Mohamed Apandi perlu mendapatkan input daripada pelbagai pihak sebelum memutuskan mengenai permohonan mengemukakan rayuan kes itu di Mahkamah Persekutuan.
Beliau mengesahkan bahawa permohonan rayuan telah difailkan pada 19 Jun tahun ini. Mahkamah tertinggi kedua negara itu membenarkan rayuan berkenaan pada 25 Mei dan penghakimannya dibuat semalam.
Jabatan Peguam Negara menghadiri prosiding itu bagi pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan kerajaan Malaysia dalam kes itu.
Amarjeet Singh berkata persoalan perundangan berkaitan adalah berhubung perkara yang membabitkan kepentingan awam serta melibatkan fatwa dan peruntukan undang-undang bertulis yang menjadi rujukan hakim Mahkamah Rayuan.
Amarjeet juga berkata pengurusan kes itu ditetapkan pada 18 Sept dan mereka akan memaklumkan mahkamah pada hari berkenaan sama ada permohonan rayuan itu diteruskan atau tidak.
Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya membenarkan rayuan yang dikemukakan pasangan yang memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa Ketua Pengarah JPN menggantikan nama anak mereka yang berbin atau berbinti “Abdullah” dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.
Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang merupakan seorang daripada tiga hakim yang bersidang, berkata Ketua Pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa atau fatwa agama yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk memutuskan nama bapa anak luar nikah orang Islam.
Beliau berkata bidang kuasa Ketua Pengarah JPN adalah sivil dan tertakluk kepada menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu memenuhi syarat-syarat mengikut Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA), yang merangkumi semua kanak-kanak tidak sah taraf orang Islam dan bukan Islam.
Abdul Rahman berpendapat fatwa tidak mempunyai kuasa undang-undang dan tidak dapat membentuk asas perundangan bagi Ketua Pengarah JPN memutuskan tentang nama bapa anak luar nikah mengikut Seksyen 13A (2) BDRA.
— BERNAMA