MADRID – Zinedine Zidane seboleh-bolehnya mahu mengekalkan Karim Benzema, Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo di Real Madrid namun mengakui keputusan itu bukan terletak di tangannya.
Digelar trio BBC, Benzema, Bale dan Cristiano merupakan tonggak utama Real dalam mempertahankan trofi Liga Juara-Juara dan La Liga musim lalu.
Bagaimanapun, spekulasi perpindahan bintang Monaco, Kylian Mbappe ke Real akan menyebabkan salah seorang trio tersebut akan dilepaskan,
Zidane pula bagaikan memberi isyarat awal dia tidak berupaya mengekalkan Bale sekaligus memberi khabar gembira buat Manchester United.
“Saya harap BBC (Bale, Benzema dan Cristiano) kekal pada musim ini. Saya harap sesiapa sahaja kekal. Saya mahu sesiapa sahaja di sini untuk kekal tetapi apa sahaja boleh berlaku sehingga 31 Ogos ini,” katanya baru-baru ini.
Jose Mourinho sebelum ini secara terbuka menyuarakan hasrat untuk mendapatkan beberapa pemain baharu pada musim panas ini.
Malah beliau telah mensasarkan pemain sayap Inter Milan Ivan Perisic dengan bidaan bernilai 48 juta pound sterling.
Mourinho menguatkan lagi khabar angin ketika United bertemu Real di Santa Clara minggu lalu selepas dia memeluk Bale sebelum sepak mula. – MalaysiaGazette