Home Politik Jangan jadi batu api – Ahmad Zahid

Jangan jadi batu api – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi

KLANG – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid mengingatkan ahli tidak menjadi batu api sehingga memecah belahkan perpaduan dan meranapkan usaha parti untuk merampas kembali Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini.

Beliau yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata, melakukan kerja menghasut tidak menguntungkan parti, sebaliknya memusnahkan impian rakyat untuk melihat Barisan Nasional (BN) menerajui semula negeri itu.

Katanya, PRU 14 ini adalah peluang terbaik bagi UMNO dan BN negeri itu merampas kembali Selangor dari Pakatan Harapan (PH), sekali gus memberi harapan baharu kepada rakyat untuk menikmati kesenangan di bawah pentadbiran BN.

“Cukuplah dua penggal beri kepada PH. Penggal ini (PRU 14) kita rampas kembali. Jangan lagi beri peluang kepada PH untuk memerintah. Dua penggal, mereka tidak buat apa-apa untuk rakyat.

“Kita pula, kalau nak menang Selangor, hentikanlah sengketa sesama sendiri, hasut menghasut, menjadi batu api dan duri dalam daging.

“Kita harus siapsiaga jentera kita untuk memenangi hati rakyat. Turun ke akar umbi dekati rakyat. Dengar suara hati mereka dan cari jalan untuk selesaikan masalah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Langat di Kelab Amverton, Pulau Carey, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat. Datuk Sulaiman Mohd Karli.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pemimpin UMNO dan BN di peringkat negeri dan bahagian harus bekerjsama memikirkan kaedah terbaik untuk memastikan kali ini rakyat menolak Pakatan Harapan.

Ujar beliau, rakyat tidak mengundi calon UMNO dan BN bukan kerana calon berkenaan tidak sesuai, tetapi disebabkan termakan fitnah pembangkang.

“Fitnah ini yang harus kita tangkis. Kita ada fakta, kita ada hujah, kita sepatutnya dapat menangkis fitnah ini daripada terus termakan oleh rakyat.

“Ayuhlah… hentikanlah semua perkara karut itu (sengketa). Sampai bila kita mahu menjadi pembangkang di negeri sendiri. Hidup dalam keadaan serba susah kerana tidak mendapat perhatian pemimpin PH.

“Kalau kita tak mahu kasihan pada diri kita, kasihan lah pada anak cucu kita yang akan meneruskan kelangsungan hidup di bumi Selangor. Sampai bila mereka mahu hidup tersisih?” ujar beliau. – MalaysiaGazette