Home Dunia Wanita pukul staf selepas penerbangan dibatal

Wanita pukul staf selepas penerbangan dibatal

HONG KONG – Seorang wanita didenda 200 yuan (AS$30) dan ditahan selama 10 hari selepas dia menampar seorang lelaki yang merupakan kakitangan lapangan terbang di timur laut China kerana marah penerbangannya dibatalkan.

Penumpang bernama Li, 40an itu melepaskan kemarahan kepada seorang pekerja lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenyang Taoxian di wilayah Liaoning pada Khamis, lapor Beijing News.

Video berdurasi enam saat itu menunjukkan Li menarik tangan lelaki tersebut ke kaunter sementara dia menampar kepala lelaki tersebut menggunakan tangan kanannya apabila lelaki berkenaan cuba melepaskan diri.

Lelaki tersebut mengalami pendarahan di hidung selepas serangan ITU dan kemudiannya membuat laporan polis.

Menurut laporan berita berkenaan, wanita tersebut turut menghempas sebuah komputer di atas kaunter.

Li dikatakan sedang menunggu untuk berlepas ke Changsha, sebuah ibu negeri di tengah-tengah wilayah Hunan.

Selepas ditangguh selama lima jam, syarikat penerbangan yang dirahsiakan namanya itu membuat pengumuman bahawa penerbangan terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk.

Ini telah menimbulkan kemarahan penumpang yang mengerumum kaunter syarikat tersebut bagi mendapatkan penjelasan.

“Orang ramai meng’boo’ dan terdapat seseorang yang menjerit ‘pukul dia, pukul dia’.

“Bagaimanapun, tiada siapa yang berbuat demikian kecuali Li,” kata seorang pegawai polis kepada akhbar berkenaan. – MalaysiaGazette