Home Nasional Flash Mob sasar kutip RM5 juta untuk Tabung Pahlawan

Flash Mob sasar kutip RM5 juta untuk Tabung Pahlawan

Seramai 90 sukarelawan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan tarian 'Flash Mob' sempena Kempen Tabung Pahlawan 2017 di pusat membeli-belah ikonik terkemuka, Suria KLCC hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 90 sukarelawan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan tarian flash mob sempena Kempen Tabung Pahlawan 2017 di pusat membeli-belah ikonik terkemuka, Suria KLCC di sini semalam.

Persembahan memukau termasuk aksi dram selama 15 minit itu berjaya menambat hati orang ramai yang menyaksikan persembahan diadakan di lokasi itu yang sering menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong luar pada hari minggu.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, ⁠⁠⁠Muhammad Afifi Azham Mohd., falsh mob itu satu kelainan dalam kempen yang dijalankan setiap tahun bagi menunjukkan sokongan orang ramai dalam membantu kutipan tabung pahlawan.

“Ini adalah flash mob keempat pada tahun ini. Sebelum ini, kami mengadakan flash mob di Pasar Seni, Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur dan Pavilion.

“Aktiviti ini melibatkan sukarelawan dari Sukarelawan ATM yang terdiri daripada Badan Kesenian Tentera Darat, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Pusat Latihan Muzik Tentera Darat,” katanya.

Menurutnya, kempen ini diadakan 31 Julai setiap tahun namun pada tahun ini ia dijalankan lebih awal iaitu pada Mei sehingga Disember 2017.

“Kempen ini diadakan lebih awal supaya sasaran kutipan RM5 juta dapat dicapai.

“Matlamatnya untuk membantu kebajikan anggota tentera sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka berjuang mempertahankan kedaulatan negara. Tabung ini diuruskan oleh Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM),” katanya.

Katannya, sumbangan orang ramai boleh disalurkan kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia melalui MAYBANK (no akaun: 564717521826) atau CIMB BANK (no akaun 8602700401). – MalaysiaGazette