KUALA LUMPUR – Hutang Kerajaan Persekutuan naik sebanyak RM17.935 bilion atau 2.8 peratus kepada RM648.475 pada akhir tahun 2016 berbanding RM630.540 pada tahun 2015.
Laporan Ketua Audit Negara 2016 berkata, peningkatan hutang itu disumbangkan oleh pertambahan hutang dalam negeri sejumlah RM15.759 bilion dan hutang luar negeri RM2.176 bilion.
Nisbah hutang kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tahun 2016 adalah pada paras 52.75 peratus, berkurangan pada kadar 1.75 peratus berbanding tahun 2015.
Laporan itu berkata, hasil kerajaan pada tahun 2016 adalah berjumlah RM212.421 bilion manakala terimaan balik pinjaman dan pelbagai terimaan sebanyak RM1.347 bilion.
Perbelanjaan mengurus berjumlah RM210.173 bilion manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah RM41.995 bilion.
Kerajaan Persekutuan mengalami desifit berjumlah RM38.4 bilion dengan nisbah defisit kepada KDNK pada paras 3.12 peratus.
Defisit tersebut ditampung dengan pinjaman dari dalam dan luar negeri berjumlah RM99.859 bilion, selain daripada membiayai perbelanjaan pembangunan, pinjaman ini juga digunakan membayar hutang. – MalaysiaGazette