Home Nasional Jangka hayat rakyat Malaysia lebih panjang

Jangka hayat rakyat Malaysia lebih panjang

KUALA LUMPUR – Penduduk Malaysia dijangka boleh hidup sehingga 74.8 tahun pada 2017 dengan peningkatan sebanyak 0.5 tahun berbanding 74.3 tahun pada 2011.

Jangkaan hayat ketika lahir di Malaysia pada 2017 adalah 77.4 tahun bagi perempuan dan 72.7 tahun bagi lelaki.

Jabatan Statistik berkata, jangkaan hayat ini terus meningkat dari tahun ke tahun dengan perbezaan 0.6 tahun bagi lelaki dan perempuan berbanding 2011.

Jangkaan hayat lelaki tertinggi dicatatkan oleh Cina dengan 75.0 tahun manakala yang terendah dicatatkan oleh India dengan 67.8 tahun.

Bagi perempuan, Cina mempunyai jangkaan hayat tertinggi dengan 80.2 tahun manakala Bumiputera mencatatkan jangkaan hayat terendah dengan 76.2 tahun.

Jangkaan hayat tertinggi dicatatkan oleh Sarawak dengan 75.1 tahun (lelaki) dan 78.6 tahun (perempuan).

Manakala jangkaan hayat terendah dicatatkan oleh Terengganu dengan 68.8 tahun (lelaki) dan 74.6 tahun (perempuan).

Jangkaan hayat pada umur 15 tahun bagi lelaki ialah 58.4 tahun pada 2017 dan perempuan adalah 63.1 tahun.

Pada umur 65 tahun, seorang lelaki dijangka akan hidup selama 15.0 tahun lagi dan perempuan pula dijangka akan hidup selama 17.1 tahun lagi.

Perbezaan antara jangkaan hayat lelaki dan perempuan pada umur 15 tahun adalah sebanyak 4.7 tahun manakala perbezaan pada umur 65 tahun adalah 2.1 tahun. – MalaysiaGazette