Home Utama Kerajaan umum 6 inisiatif veteran ATM – PM

Kerajaan umum 6 inisiatif veteran ATM – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Perhimpunan Veteran ATM 2017 di Pusat Pameran Dan Konvensyen Antarabangsa MINES (MIECC), Seri Kembangan, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 31 JULAI 2017.
SERI KEMBANGAN – Berita baik kepada veteran tentera.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan lima inisiatif baharu kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan hari ini.

Bagi meringankan beban veteran ATM khususnya yang tidak menerima pencen, kerajaan akan memperkenalkan Bantuan Bakti Negara (BBN) dengan bantuan RM1,200.

“Skim BBN ini adalah lanjutan daripada pengenalan skim kepada veteran ATM yang pernal diperkenalkan pada tahun 2013 iaitu Skim Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia

“Syarat penerima BBN adalah berdasarkan kriteria penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) iaitu mereka yang berada di bawah kelompok B40,” katanya pada Hari Himpunan Veteran 2017 di The Mines International Exhibition & Convention Center (MIECC) di sini hari ini.

Katanya, seramai 66,000 veteran ATM tidak berpencen bakal menerima faedah daripada skim BBN tersebut.

Jelasnya, veteran ATM yang bukan penerima BR1M juga akan mendapat bantuan tersebut sebanyak RM600 dengan syarat berumur 60 tahun ke atas.

“Untuk itu, seramai 10,959 veteran ATM tidak berpencen yang berusia di atas 60 tahun pada tahun 2017 akan mendapat faedah daripada inisiatif BBN ini,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan juga bakal memperkenalkan Skim Anuiti Veteran (SAVE) khas kepada anggota ATM yang sedang berkhidmat.

“Ia membolehkan anggota tetap mendapat inisiatif walaupun anggota ATM berhasrat untuk berhenti awal daripada perkhidmatan yang bertujuan memberi pendapatan secara bulanan seumur hidup kepada bakal veteran tidak berpencen.

“SAVE juga boleh diserahkan kepada waris yang layak apabila veteran tersebut meninggal dunia, kalau berhenti lebih awal daripada 21 tahun, boleh juga menerima pencen bulanan,” ujarnya.

Kerajaan juga katanya menambahbaik Skim Pencen Hilang Upaya bagi veteran ATM, dan bekas anggota Wataniah sepenuh masa di mana mereka berkhidmat kurang dari 10 tahun serta tidak menerima pencen perkhidmatan.

“Mereka ini terpaksa diberhentikan awal daripada perkhidmatan akibat mengalami kecederaan dan kecacatan kekal sewaktu menjalankan tugas. Pada masa ini mereka hanya mendapat jumlah pencen serendah RM65 sahaja.

“Mereka yang tergolong dalam kategori ini, akan mendapat kenaikan kadar pencen bermula antara 300 hingga 800 peratus untuk pembayaran pencen mereka. Ia melibatkan nilai minimum dari RM500 sehingga nilai maksimum RM2,000,” ulasnya.

Najib turut berkata, kerajaan juga menambah baik Insentif Veteran Kelainan Upaya yang mengalami kelainan upaya selepas bersara.

“Pada masa ini, mereka menerima RM500 setahun melalui dana yang diperolehi hasil daripada kutipan Tabung Pahlawan.

“Kerajaan akan menambah RM500 lagi untuk menjadikan jumlah keseluruhan insentif ini kepad RM1,000 berbanding RM500 sahaja sebelum ini,” katanya.

Katanya lagi, selaras dengan keperluan musim haji, kerajaan juga akan menambahkan kouta tambahan khas haji untuk veteran ATM dari 100 jemaah kepada 400 orang pada tahun ini.

“Mudah-mudahan anggota veteran yang terpilih dapat mengerjakan ibadat haji mereka pada tahun ini,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan turut menyumbang peruntukan RM5 juta untuk mengisi kutipan tabung Hari Pahlawan pada tahun ini.

“Isteri saya juga sebagai penaung kepada Tabung Pahlawan ini telahpun memainkan peranan di mana dia telah bisik pada saya tolonglah beri sedikit peruntukan istimewa daripada kerajaan pada tahun ini.

“Kutipan tahun ini mungkin paling tinggi dalam sejarah, di mana kerajaan akan beri peruntukan istimewa tahun ini berjumlah RM5 juta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette